Aveta V-13R 2021 kini tiba di bilik pameran wakil pengedar, harga tunai RM 5,440.00

Model moped terbaharu Aveta V-13R 2021 baru saja dilancarkan di pasaran tempatan kira-kira seminggu yang lalu. Sewaktu pelancarannya, model tersebut dikatakan bakal tiba di bilik pameran wakil pengedar pada tarikh 20hb. November 2021. Namun begitu model tersebut kini didapati tiba lebih awal di bilik pameran wakil pengedar di Melaka.

Menurut status terkini di dalam laman Facebook SMC Chang Motors Sdn Bhd, Aveta V-13R 2021 tiba di bilik pameran wakil pengedar itu pada kelmarin, dalam empat pilihan warna kesemuanya. Berdasarkan gambar-gambar yang disiarkan, ternyata Aveta V-13R kelihatan cukup bergaya dan sporty, malah pemasangannya juga kelihatan berkualiti.

Bagaimanapun apa yang menarik perhatian ramai ialah harga yang ditawarkan, apabila model tersebut boleh dimiliki dengan harga tunai serendah RM 5,440.00 sahaja. Harga itu boleh dikatakan berpatutan, sama seperti jangkaan awal yang telah diperkatakan di dalam artikel kelmarin. Plan pembelian secara ansuran yang menarik turut disediakan.

Kepada bakal pembeli Aveta V-13R yang tinggal di negeri Melaka, anda boleh kunjungi bilik pameran SMC Chang Motors Sdn Bhd, untuk melihat sendiri model berkenaan dan melakukan urusan pembelian. Dalam masa beberapa hari lagi, dijangkakan ianya akan turut tiba di setiap bilik pameran wakil-wakil pengedar sah yang lain di seluruh negara.