Di pasaran tempatan pada ketika ini, peminat motosikal dalam kelas 150cc mempunyai pilihan dua model yang cukup menarik iaitu Honda RS-X dan juga Honda RS150R. Ini kerana kedua-dua model berkenaan ditawarkan oleh kedai motosikal pada harga jualan tunai OTR sekitar hanya RM 9,500.00 (RS-X) dan RM 7,500.00 (RS150R) sahaja.
Bagi model Honda RS-X yang dilancarkan pada awal bulan November 2021 baru-baru ini, harga jualan asasnya sebanyak RM 8,688.00 yang telah ditetapkan oleh Boon Siew Honda boleh dikatakan sangat berpatutan. Oleh itu apabila ianya dijual oleh pihak kedai motosikal pada harga tunai OTR sekitar RM 9,500.00, ramai yang berpuas hati.
Bagaimanapun berdasarkan maklumat daripada spekulasi terkini, harga jualan asas untuk Honda RS-X dijangka akan meningkat mulai tarikh 01hb. Januari 2022. Ini kerana dikatakan harga jualan asas sebanyak RM 8,688.00 yang diumumkan oleh Boon Siew Honda sebelum ini ialah harga jualan selepas pengecualian duti eksais 100 peratus.
Seperti mana yang kita semua sedia maklum, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pengecualian duti eksais 100 peratus untuk motosikal versi pemasangan tempatan atau CKD dengan enjin di bawah 150cc, bagi tempoh 01hb. April sehingga 31hb. Disember 2021. Pengecualian cukai itu diperkenalkan kerajaan di bawah insentif PEMERKASA.
Jika maklumat atau spekulasi itu benar, ini bermakna harga jualan asas untuk Honda RS-X bermula dari tarikh 01hb. Januari 2022 ini mungkin akan meningkat. Harga baru itu nanti mungkin akan berlegar-legar di antara RM 9,500.00 sehingga ke RM 9,900.00, dan harga jualan tunai OTR di kedai motosikal pula pasti akan meningkat lebih tinggi.
Ketika ini, sudah terdapat banyak kedai motosikal yang menawarkan Honda RS-X pada harga jualan tunai OTR melebihi RM 10k. Jadi bermula pada tahun depan, kita pastinya sudah boleh menjangkakan harga tunai OTR untuk Honda RS-X ini akan meningkat ke paras yang lebih tinggi, tidak mustahil ianya akan mencecah sehingga harga RM 12k.
Bagi model Honda RS150R pula, harga jualan tunai OTR sekitar RM 7,500.00 ketika ini sememangnya telah disumbangkan oleh insentif pengecualian duti eksais 100 peratus. Namun harga tersebut dijangka akan meningkat kembali bermula tarikh 01hb. Januari 2022 akan datang, apabila tamatnya insentif pengecualian duti eksais 100 peratus itu.
Bagi peminat dan bakal pelanggan untuk model Honda RS-X dan Honda RS150R, yang mungkin akan membeli mana-mana model tersebut pada tahun depan, pastinya akan merasa kecewa jika spekulasi kenaikan harga tersebut akan benar-benar berlaku tidak lama lagi. Jadi sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan mengambil tindakan segera.
Caranya ialah dengan melanjutkan lagi tempoh pengecualian duti eksais 100 peratus untuk motosikal versi pemasangan tempatan atau CKD dengan enjin di bawah 150cc, sekurang-kurangnya sehingga ke tarikh 30hb. Jun 2022. Jika insentif yang sama boleh dilanjutkan untuk kereta, bermakna ianya juga boleh dilanjutkan untuk motosikal.
Namun jika insentif itu tidak lagi akan dilanjutkan selepas ini, bermakna bakal pembeli Honda RS-X dan Honda RS150R, serta bakal pembeli model-model motosikal kapcai atau moped yang lain, perlu bersedia untuk menerima hakikat kenaikan harga tersebut. Apa pun sangatlah diharapkan spekulasi kenaikan harga tersebut tidak akan berlaku.
Galeri : Honda RS-X
Galeri : Honda RS150R