Yamaha MT-10 SP 2022 tampil lebih agresif dengan sistem suspensi separa aktif terbaharu daripada Öhlins

Yamaha Motor Europe baru-baru ini dengan rasminya memperkenalkan jentera hyper-naked terbaharu Yamaha MT-10 2022. Kini versi naik taraf untuk model berkenaan pula telah diperkenalkan iaitu Yamaha MT-10 SP 2022, dan ianya merupakan model pertama di dunia yang dilengkapi sistem suspensi separa aktif paling terkini daripada Öhlins.

Menurut Yamaha, sistem suspensi kawalan elektronik yang canggih itu menggunakan teknologi ‘spool valve damping’ terbaharu, yang terpasang di bahagian depan dan juga belakang jentera tersebut. Tambah Yamaha lagi, sistem suspensi itu telah memberikan pilihan pelarasan redaman yang lebih luas dan tahap tindak balas yang lebih tinggi.

Selain itu, Yamaha MT-10 SP 2022 turut dilengkapi ‘3-piece belly cowl’ secara eksklusif yang tampil begitu ringan, serta memberikan gaya penampilan sport yang lebih agresif. Malah bukan hanya sekadar kosmetik, ianya juga mampu menghalakan udara ke arah unit penyejuk minyak (oil cooler) agar suhu operasinya kekal konsisten setiap masa.

Yamaha MT-10 SP 2022 juga dilengkapi hos brek berjalin (braided brake hoses) yang dipasang sebagai ciri standard, bagi memantapkan lagi prestasi breknya terutamanya ketika beraksi di litar dalam suasana ekstrem dan suhu yang tinggi. Akhir sekali, warna tunggal eksklusif yang ditawarkan pada jentera berkenaan ialah Icon Performance.

Beralih ke bahagian enjin, tiada sebarang perubahan berbanding varian standard. Ini bermakna varian SP masih mengekalkan enjin bersesaran 998cc yang patuh piawaian Euro 5, dengan hamburan kuasa maksimum 165.9PS @ 11,500rpm dan tork setinggi 112.0Nm @ 9,000rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan.