Walaupun ramai di antara kita mampu memiliki sesebuah model motosikal kapcai atau moped yang dijual pada harga mencapai RM 14,500.00 (Yamaha Y16ZR Doxou 2021), namun masih ramai juga yang hanya mampu memiliki sebuah model kapcai pada harga mampu milik, dalam anggaran di bawah RM 4,000.00 sahaja untuk kegunaan harian.
Ketika ini di pasaran tempatan, salah sebuah model motosikal kapcai yang dijual pada harga mampu milik ialah Ottimo Viz 110 2021. Bermula sejak bulan Oktober 2021 yang lepas, model tersebut ditawarkan pada harga tunai OTR sebanyak RM 3,650.00 sahaja, yang mana harga itu telah dikira termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.
Malah lebih menarik lagi ialah pengeluarnya iaitu Ottimo Technologies Sdn. Bhd. turut menawarkan khidmat penghantaran motosikal berkenaan ke rumah pelanggan secara percuma, di seluruh Semenanjung Malaysia. Menurut Ottimo, promosi yang dijalankan itu adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun kali ke-3 untuk syarikat tersebut.
Dengan harga tunai OTR serendah RM 3,650.00 sahaja, pastinya pembelian Ottimo Viz 110 ini sangat berbaloi. Tambahan pula model kapcai itu mempunyai gaya penampilan yang sporty, dan tersedia dalam dua pilihan warna yang menarik iaitu Merah dan Biru. Di samping itu, ianya juga didatangkan dengan pelbagai ciri-ciri menarik dan praktikal.
Antaranya ialah paparan meter kelajuan yang jelas dan berinformasi, ruang barangan peribadi di bawah tempat duduk seluas enam liter, soket kuasa USB, lampu deco dan lampu penunjuk arah LED, kunci utama dengan penutup magnetik untuk keselamatan dan sistem anti kecurian, serta brek hadapan cakera dengan dwi piston yang cekap.
Prestasi enjin empat lejang 107cc pada Ottimo Viz 110 juga memuaskan, apabila ianya mampu menghasilkan kuasa maksimum 6.7hp @ 8,000rpm dan tork maksimum 6.9Nm @ 6,000rpm. Enjin yang bertaraf Euro 3 dan cekap penggunaan petrol itu kemudiannya telah digandingkan dengan sistem transmisi empat kelajuan jenis berputar yang lancar.
Menurut pengeluarnya lagi, Ottimo Viz 110 mampu mencapai jarak tunggangan dengan setangki penuh petrol yang menjangkau sehingga 180 km, sebelum perlu diisi semula. Untuk ketenangan minda setiap pemiliknya, model kapcai tersebut menawarkan tempoh jaminan selama 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 km, yang mana tiba lebih dahulu.