Melihat kepada gaya pemilikan motosikal di pasaran tempatan, ramai yang tidak kisah untuk berbelanja sehingga belasan ribu atau puluhan ribu ringgit untuk memiliki sebuah model motosikal idaman. Malah masih ramai yang sanggup untuk membeli sesebuah model motosikal popular yang telah dinaikkan harganya oleh kebanyakan wakil penjual.
Bagaimanapun pada masa yang sama, ramai rakyat Malaysia yang hanya memerlukan sesebuah model motosikal yang hanya sekadar untuk kegunaan seharian. Bagi mereka cukuplah untuk kegunaan sebagai sebuah alat pengangkutan untuk bergerak dari titik A ke titik B, dalam menyelesaikan setiap urusan seharian yang tidak pernah akan terhenti.
Mujurlah di pasaran tempatan pada ketika ini masih terdapat banyak pilihan motosikal yang ditawarkan pada harga yang begitu mampu milik, terutamanya bagi model-model keluaran syarikat nasional iaitu Modenas. Salah sebuah model yang boleh dimiliki pada harga rendah ketika ini ialah Modenas Kriss 110, bagi varian tanpa brek cakera depan.
Menurut salah satu promosi yang disiarkan di dalam laman jual beli popular Mudah.my baru-baru ini, Modenas Kriss 110 kini boleh dimiliki dengan harga tunai OTR sebanyak RM 2,788.00 sahaja. Model itu sebelum ini dilancarkan pada tahun 2019, dengan harga jualan asas RM 3,457.00, dan tersedia dalam tiga pilihan warna hitam, biru dan kuning.
Walaupun harga jualan yang ditawarkan pada ketika ini sangatlah berpatutan, Modenas Kriss 110 tetap menawarkan spesifikasi yang menarik. Model tersebut dilengkapi enjin 108cc SOHC dengan transmisi empat kelajuan jenis rotary, sistem penyejukan udara, sistem karburetor, penghidup tendang dan elektrik, dan juga tangki bahan api 4.2 liter.
Sama seperti model-model motosikal lain yang dijual pada harga lebih tinggi, Modenas Kriss 110 ini tetap sesuai untuk kegunaan seharian, sama ada untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dan sebagainya. Jadi untuk anda yang mahukan sebuah model motosikal mampu milik dan berbaloi dimiliki, mungkin model ini adalah jawapannya.