Honda Navi merupakan salah sebuah model skuter kompak keluaran Honda yang kini masih ditawarkan di beberapa pasaran global. Model berkenaan buat pertama kalinya diperkenalkan di pasaran India pada tahun 2016, namun jualannya telah pun dihentikan dengan rasminya mulai April 2020, kerana tidak lagi memenuhi piawaian emisi BS6.
Terkini, Honda Navi 2022 telah diperkenalkan untuk pasaran USA, dalam empat pilihan warna menarik Grasshopper Green, Red, Nut Brown dan Ranger Green. Harga jualan yang ditetapkan adalah sebanyak $1,807.00, bersamaan RM 7,555.97 mengikut kadar semasa, dan akan berada di pasaran USA mulai Januari 2022 (February in California).
Honda Navi 2022 menggunakan enjin bersesaran 109cc (air-cooled single-cylinder four-stroke, OHC; two valves) dengan sistem karburetor, dan digandingkan sistem transmisi automatik CVT. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 3.5 liter. Suspensi depannya ialah fork teleskopik terbalik, dan penyerap hentak tunggal di belakangnya.
Untuk keselamatan, Honda Navi 2022 dilengkapi sistem brek dram di bahagian depan dan belakang. Saiz tayar depan dan belakangnya masing-masing ialah 90/90-R12 dan 90/100-R10. Di pasaran USA, Honda turut menawarkan model skuter kompak Honda Ruckus 2022, namun dengan harga yang lebih tinggi iaitu $2,799.00 (RM 11,704.02).