Suzuki GSX-S1000 2022 dilancarkan di pasaran Filipina, harga jualan bersamaan RM 58,735.50

Suzuki Motorcycles Philippines pada beberapa hari yang lepas secara rasminya telah melancarkan model naked terbaharu Suzuki GSX-S1000 2022. Untuk pasaran Filipina, model bergaya sporty dan radikal itu didatangkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Metallic Triton Blue, Glass Matte Mechanical Gray dan juga Glass Sparkle Black.

Harga jualan yang ditawarkan untuk Suzuki GSX-S1000 2022 itu adalah sebanyak Php 710,000.00, bersamaan RM 58,735.50 berdasarkan kadar tukaran mata wang semasa. Untuk pasaran Malaysia sekiranya ianya dilancarkan nanti oleh Suzuki Malaysia, harga jualannya dijangkakan tidak akan jauh berbeza dengan harga di pasaran Filipina.

Suzuki GSX-S1000 2022 hadir dengan reka bentuk terbaharu yang menampilkan wajah depan yang lebih tajam, apabila ianya kini dilengkapi lampu depan LED jenis menegak yang kelihatan begitu futuristik dan tersendiri. Reka bentuk terbaharu itu pastinya lebih sporty dan moden jika dibandingkan dengan reka bentuk model generasi sebelumnya.

Di bahagian sistem penjana kuasanya, Suzuki GSX-S1000 2022 dilengkapi enjin dalam sesaran 999cc (4-stroke, 4-cylinder, liquid-cooled, DOHC) yang kini mematuhi piawaian emisi Euro 5, dan menghamburkan kuasa maksimum 153hp @ 11,000rpm dengan tork maksimum 108Nm @ 9,250rpm. Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan.

Melengkapkan lagi spesifikasi jentera naked berprestasi tinggi itu ialah sistem suspensi daripada KYB, sistem brek cakera depan daripada Brembo, sistem lampu LED, panel meter digital LCD, tayar depan dan belakang masing-masing bersaiz 120/70ZR17 dan 190/50ZR17, ketinggian tempat duduk 810 mm, dan kapasiti tangki bahan api 19 liter.

Suzuki GSX-S1000 2022 seterusnya dilengkapi teknologi Suzuki Clutch Assist System (SCAS) yang digandingkan dengan sistem quickshifter dan auto-blipper. Selain itu ialah rangkaian elektronik canggih Suzuki Intelligent Ride System (SIRS), Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) dan traction control dengan lima pilihan mod dan ciri boleh dimatikan.