Selepas Honda RS-X 2021, adakah Boon Siew Honda akan melancarkan model skuter Honda PCX160 2022?

Untuk pasaran Malaysia pada tahun ini, Boon Siew Honda telah melancarkan beberapa buah model terbaharu yang menarik. Antaranya seperti model Honda ADV150, Honda Forza 250, Honda CBR600RR, Honda X-ADV, Honda CBR150R, dan tidak dilupakan juga ialah model moped yang ditunggu-tunggu selama ini iaitu Honda RS-X 2021.

Bagaimanapun masih terdapat sebuah lagi model terbaharu yang sangat menarik, yang ketika ini belum dapat dipastikan bilakah Boon Siew Honda akan melancarkannya untuk pasaran tempatan. Model tersebut ialah Honda PCX160 2022 terbaharu, yang ketika ini telah pun dilancarkan di pasaran Thailand, Indonesia, Filipina, Kemboja dan Singapura.

Sebelum ini, Boon Siew Honda pernah melancarkan model Honda PCX150 dan Honda PCX Hybrid untuk pasaran Malaysia. Kini kedua-dua model skuter berkenaan tidak lagi ditawarkan. Oleh itu besar kemungkinan, mungkin pada tahun 2022 akan datang, Boon Siew Honda dijangka melancarkan Honda PCX160 terbaharu untuk pasaran tempatan.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Honda PCX160 ini ialah reka bentuk dan gaya penampilan terbaharunya yang kelihatan lebih sporty berbanding Honda PCX150, enjin eSP+ baharu bersesaran 156.93cc dengan empat injap yang lebih berkuasa (15.8PS @ 8,500rpm & 15Nm @ 6,500rpm), sistem brek ABS dan juga teknologi canggih HSTC.

Selain itu, Honda PCX160 turut mempunyai ciri-ciri seperti kapasiti tangki bahan api 8.1 liter, ruang barangan di bawah tempat duduk dengan keluasan 30 liter, pengecas USB Type-C yang diletakkan di konsol dalaman di bahagian depan, sistem Smart Key yang canggih dan mudah, sistem lampu LED dan panel instrumen digital LCD sepenuhnya.

Honda PCX160 2022 apabila ianya dilancarkan nanti, pastinya akan menarik perhatian ramai peminat skuter di pasaran tempatan. Ini kerana ianya tampil dengan reka bentuk baharu yang sporty dan moden, enjin baharu yang lebih canggih, berkuasa dan cekap penggunaan bahan api, termasuklah pelbagai ciri-ciri baharu yang terkini dan praktikal.