Harga jualan tunai OTR untuk Aveta V-13R 2021 dijangka dalam anggaran hanya RM 5k – RM 6k sahaja

Aveta V-13R 2021 merupakan sebuah model moped terbaharu yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada tarikh 06hb. November 2021 baru-baru ini. Melalui pemerhatian yang dilakukan di dalam laman media sosial, kebanyakan peminat motosikal tempatan memuji penampilan model tersebut yang dikatakan mirip model popular Yamaha Ysuku.

Bagaimanapun Aveta-V13R 2021 turut tidak terlepas daripada kritikan, apabila harga jualan asasnya (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan) telah diumumkan sebanyak RM 6,688.00. Harga itu dikatakan agak tinggi, tambahan pula ianya terpaksa bersaing dengan model-model berjenama lain di dalam julat harga yang hampir sama.

Antara model-model menarik lain yang menjadi pesaingnya berdasarkan jumlah harga yang hampir sama ialah Honda Dash 125 (RM 5,999.00 – RM 6,499.00), Honda Wave 125i (RM 6,449.00) dan Yamaha 135LC (RM 6,868.00 – RM 7,118.00). Pastinya ramai peminat motosikal tempatan yang akan berfikir beberapa kali sambil berkata ‘baik beli’.

Namun begitu apa yang menariknya ialah harga jualan tunai OTR untuk Aveta V-13R ini tidaklah semahal yang disangka. Memang benar harga jualan rasminya yang disyorkan (MSRP – Manufacturer’s Suggested Retail Price) mencapai RM 6,688.00, namun ianya juga bergantung kepada harga sebenar yang akan ditetapkan oleh setiap wakil penjual.

Berdasarkan nilai pasaran bebas di negara kita dan juga harga motosikal yang tidak mempunyai had siling dan had lantai, ini bermakna harga sebenar motosikal yang dijual bergantung sepenuhnya kepada permintaan pasaran. Apabila sesebuah model tersebut mendapat permintaan yang tinggi, maka harganya juga akan dinaikkan lebih tinggi.

Contohnya ialah harga jualan semasa untuk model-model yang sangat popular seperti Yamaha Y15ZR, Yamaha Y16ZR dan Honda RS-X, yang dijual melebihi harga sebenar yang ditetapkan oleh pengeluar. Jadi untuk model-model lain yang agak kurang popular, sama ada ianya dijual pada harga sebenar atau harganya akan diturunkan lebih rendah.

Untuk model Aveta V-13R ini, setakat ini harga jualan tunai OTR yang akan ditawarkan oleh wakil penjual dan kedai motosikal yang menjadi pengedar sahnya, dijangka hanya sekitar RM 5k sehingga RM 6k sahaja. Jangkaan ini adalah berdasarkan tinjauan awal yang telah dilakukan terhadap model tersebut dan juga model-model lain sepertinya.

Yang penting di sini ialah bakal pembeli Aveta V-13R perlu melakukan survey di banyak kedai yang menjual motosikal moped ala Ysuku itu, untuk mendapatkan harga dan nilai tawaran yang terbaik. Mana tahu harga jualan yang ditawarkan nanti sangat berpatutan, tidak kira sama ada anda membelinya secara tunai atau pun secara bayaran ansuran.

Sumber gambar : 1, 2 & 3