Honda CB150X 2022 diperkenalkan di pasaran Indonesia

Pasaran Indonesia pada hari ini dengan rasminya menerima kehadiran sebuah model sport adventure touring terbaharu iaitu Honda CB150X 2022. Didatangkan dalam pilihan warna Volcano Matte Black, Glossy Red dan Matte Green, harga yang ditawarkan untuk model tersebut sekitar Rp 32,000,000 – Rp 35,000,000 (RM 9,382.52 – RM 10,262.13).

Honda CB150X dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 149.16cc (DOHC, 4-valve, PGM-FI) dan dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 12 liter untuk perjalanan lebih jauh. Ketinggian tempat duduk model tersebut ialah 817 mm, manakala beratnya mencapai 139 kg (dry weight).

Spesifikasi teknikal menarik lain yang ditawarkan oleh Honda CB150X ini adalah seperti fork depan terbalik, skrin penghadang angin yang tinggi, tapered handlebar, adventure style undercowl, panel meter digital penuh, sistem lampu LED sepenuhnya, sistem brek cakera, dan penggunaan tayar berukuran 100/80-17 (depan) dan 130/70-17 (belakang).

Untuk peminat aktiviti touring atau pengembaraan, Honda CB150X 2022 ini merupakan salah sebuah model terbaharu yang bakal menjadi pilihan utama. Harganya juga sangat terjangkau dan mampu milik. Diharapkan Boon Siew Honda akan turut melancarkannya di pasaran Malaysia, yang pastinya akan mendapat sambutan daripada ramai peminat.