KTNS Zongshen RA2 2022 akan tiba di pasaran Malaysia pada Januari tahun depan, harga asas RM 12,800.00

Model cruiser bergaya retro terbaharu KTNS Zongshen RA2 2022 baru saja diumumkan akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia mulai bulan Januari tahun depan, dengan harga jualan asasnya RM 12,800.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Model berkenaan dilengkapi enjin satu silinder 250cc dengan sistem sejukan udara, dan menghasilkan kuasa maksimum 18hp dengan tork puncak 18Nm. Di bahagian suspensi, ianya dilengkap fork depan teleskopik dan penyerap hentak belakang jenis konvensional.

Sistem brek terdiri daripada cakera tunggal di bahagian depan dengan kaliper dua piston, yang digandingkan dengan cakera tunggal di bahagian belakang dengan unit kaliper satu piston. Sistem ABS dua saluran seterusnya ditawarkan sebagai kelengkapan standard.

KTNS Zongshen RA2 2022 turut dilengkapi panel meter digital LCD berbentuk bulat dan sistem lampu LED sepenuhnya. Melihat kepada penampilan dan spesifikasinya, model ini dijangka akan mampu menarik perhatian ramai peminat motosikal di pasaran tempatan.

Sumber : Paultan.org