GPX Legend 250 Brighton 2021 dilancarkan di pasaran Thailand, harga bersamaan RM 10,828.77

Dalam tahun ini, GPX Thailand telah melancarkan beberapa buah model motosikal dan skuter yang menarik, iaitu GPX Demon GR200R 2021, GPX POPZ 110 2021, GPX Rock Metal 2022, dan GPX Drone 4-ValvesĀ  2022. Seterusnya pada tarikh 29hb. Oktober 2021 baru-baru ini, syarikat tersebut melancarkan pula model GPX Legend 250 Brighton 2021.

GPX Legend 250 Brighton 2021 untuk pasaran Thailand ini hadir dalam dua pilihan warna yang menarik iaitu British Green dan Deep Blue. Sempena dengan pelancarannya, harga jualan pengenalan yang ditawarkan untuk model berkenaan adalah sebanyak THB 86,500 sahaja, bersamaan nilai RM 10,828.77 berdasarkan kadar tukaran mata wang semasa.

GPX Legend 250 Brighton merupakan sebuah motosikal yang tampil dengan gaya rekaan klasik moden, dan ianya dikuasakan enjin dalam sesaran 234cc (2 cylinders, 4 strokes, 4 valves, SOHC, oil cooled). Enjin dengan teknologi suntikan bahan api GPX-Fi berjenama Delphi dari Amerika itu kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan.

Pelbagai ciri-ciri menarik telah dibawakan untuk model berkenaan, antaranya seperti fork depan upside-down, suspensi belakang daripada YSS dengan Sub Tank berwarna emas, sistem brek depan dengan cakera berkembar, brek belakang cakera, lampu depan LED dengan Daytime Running Light (DRL), lampu belakang LED dan panel meter digital LCD.

GPX Legend 250 Brighton turut dilengkapi tempat duduk lebar dengan gaya rekaan klasik yang selesa, muffler ekzos dengan gaya rekaan klasik megaphone, dan berdiri di atas rim roda berjejari klasik berwarna krom daripada jenama UNION yang berkualiti. Buat masa ini belum dapat dipastikan sama ada ianya akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia.