Berapakah kelajuan maksimum pecutan Honda RS-X 2021?

Model moped terhangat Honda RS-X 2021 baru saja dilancarkan, namun kini sudah ada individu yang telah menguji kelajuan maksimum pecutan model berkenaan. Melalui video tunggang uji yang disiarkan di dalam channel YouTube Habibi Junaidi, Honda RS-X 2021 didapati mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga mencecah angka 121.2 km/j.

Kelajuan tersebut mungkin dirasakan agak perlahan untuk sesebuah model moped dalam kelas 150cc, namun perlu diingat enjin motosikal tersebut masih lagi baru dan merupakan sesi tunggang uji pertama. Mungkin selepas enjin itu mencapai jarak perjalanan yang lebih jauh, keputusan ujian kelajuan maksimumnya akan menunjukkan peningkatan signifikan.

Berdasarkan jangkaan awal, kelajuan maksimum sebenar Honda RS-X mungkin mampu mencapai sehingga 135 km/j ke 145 km/j, bergantung kepada beberapa faktor, antaranya berat penunggang dan juga tahap kelajuan angin dari bahagian depan motosikal. Selain itu kelajuan maksimum pada panel meter kebiasaannya lebih tinggi dari paparan di alat GPS.

Kelajuan maksimum Honda RS-X mungkin tidak terlalu penting bagi sesetengah pemilik, kerana apa yang utama bagi mereka ialah tahap keselesaan sewaktu tunggangan, tahap pengendalian dan kuasa pikap enjin sewaktu ianya mula meluncur dan ketika memotong. Dengan kelajuan maksimum 120 km/j, ianya boleh dikatakan tahap kelajuan yang ideal.