Bajaj Dominar 250 2021 dilancarkan di pasaran Thailand, harga jualan bersamaan RM 13,117.12

Pasaran Thailand sebelum ini telah menerima kehadiran model Bajaj Dominar 400 2020 versi terbaharu, sama seperti model Bajaj Dominar D400 2021 yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan September 2021 yang lepas. Terkini pasaran negara jiran itu sekali lagi di hadapan, apabila menerima pelancaran model Bajaj Dominar 250 2021.

Bagaimanapun Bajaj Dominar 250 2021 yang dilancarkan itu masih lagi lagi menawarkan dua pilihan warna terdahulu Canyon Red dan Carcoal Black, tidak seperti Bajaj Dominar 250 2021 di pasaran India yang kini tampil dengan tiga skim pilihan warna terbaharu yang kelihatan lebih sporty dan menawan, yang menggabungkan dua tona warna berlainan.

Untuk pasaran Thailand, Bajaj Dominar 250 2021 mempunyai tanda harga THB 105,000, bersamaan RM 13,117.12 mengikut kadar tukaran mata wang semasa. Spesifikasi yang ditawarkan hampir sama dengan model Bajaj Dominar 400, cuma ianya didatangkan enjin yang lebih kecil bersesaran hanya 249cc (DOHC, 4 Valve, Liquid Cooled, Twin Spark, FI).

Enjin berkenaan kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan teknologi Slipper Clutch, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 27PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 23.5Nm@ 6,500rpm. Untuk perjalanan yang lebih jauh, model touring itu hadir dengan kapasiti tangki bahan api maksimum 13 liter, sama seperti Bajaj Dominar 400.

Bajaj Dominar 250 2021 turut menawarkan beberapa ciri dan spesifikasi teknikal menarik, antaranya adalah seperti fork depan jenis terbalik, suspensi belakang tunggal (Multi-step adjustable Monoshocks with Nitrox), sistem brek cakera dengan ABS dua saluran, panel meter digital (dual LCD display), sistem lampu LED sepenuhnya dan ‘dual note exhaust’.

Model tersebut berdiri di atas sepasang tayar bercirikan ‘tubeless’, dalam siri 100/80 – 17 (depan) dan 130/70 – 17 (belakang). Berat keseluruhannya ialah 180 kg (kerb weight). Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum ada maklumat sama ada Bajaj Dominar 250 ini akan turut ditawarkan, yang pastinya sangat sesuai untuk pemegang lesen kelas B2.