Untuk pasaran Indonesia, Yamaha MT-25 2021 telah diperkenalkan pada awal tahun ini, dalam dua pilihan warna menarik iaitu Metallic Dark Gray dan Metallic Blue. Terkini untuk musim 2022, model berkenaan didatangkan dalam dua pilihan warna yang sama, namun tampil lebih menyerlah dalam gabungan skim warna baharu yang lebih sporty dan segar.
Diperkenalkan secara rasmi pada hari ini, Yamaha MT-25 2022 untuk pasaran Indonesia dalam skim warna Metallic Dark Gray kini ternyata mempunyai perubahan pada bahagian warna badan dan jalur grafik, termasuk penggunaan warna terbaharu cyan pada rim roda. Warna itu menggantikan warna jingga yang sebelum ini melengkapi model tahun 2021.
Bagi model Yamaha MT-25 2022 berwarna Metallic Blue pula, penampilan dan gabungan skim warna baharunya juga kini kelihatan lebih menyerlah berbanding model tahun 2021, walaupun masih kekal dengan rim roda berwarna biru. Secara keseluruhannya, Yamaha MT-25 versi tahun 2022 untuk pasaran Indonesia kini tampil lebih sporty dan lebih segar.
Beralih ke spesifikasi teknikalnya, ianya masih kekal sama dan tiada perubahan. Harga jualan yang ditawarkan pula adalah sebanyak Rp 55,935,000, bersamaan RM 16,368.08. Mungkin selepas ini skim warna baharu pada Yamaha MT-25 2022 di pasaran Indonesia ini akan turut diperkenalkan untuk Yamaha MT-25 versi tahun 2022 di pasaran Malaysia.