Honda Monkey 125 2022 kini di pasaran Jepun, tiga pilihan warna, harga jualan bersamaan RM 16,085.01

Model terbaharu Honda Monkey 125 2022 kini rasmi ditawarkan di pasaran Jepun, sejak tarikh 27hb. September 2021 yang lepas. Untuk pasaran Jepun, model kompak itu hadir dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Pearl Nebula Red, Pearl Glittering Blue dan Pearl Shining Black, dengan harga jualan sebanyak 440,000 Yen, bersamaan RM 16,085.01.

Sama seperti di pasaran Eropah, Honda Monkey 125 2022 di pasaran domestik Jepun turut menerima naik taraf terbaharu, bagi menggantikan model terdahulu Honda Monkey 125 2020/2021. Antara naik taraf itu termasuklah enjin yang patuh piawaian emisi terkini, transmisi baharu lima kelajuan, dan juga naik taraf sistem suspensi di bahagian belakang.

Honda Monkey 125 2022 dikuasakan enjin yang bersesaran 123cc (air-cooled, SOHC, 4-stroke, 2-valve) dengan sistem suntikan bahan api elektronik PGM-FI, dan menghasilkan kuasa maksimum 9.4PS @ 6,750rpm dengan tork maksimum 11Nm @ 5,500rpm. Tangki bahan api model bergaya klasik moden itu pula mencapai kapasiti maksimum 5.6 liter.

Ciri-ciri menarik lain yang melengkapinya termasuklah sistem brek cakera dengan ABS satu saluran, sistem lampu LED, panel meter digital LCD, kunci dengan ciri ‘answer back’, dan juga tersedia ‘grip heater’ sebagai aksesori asli pilihan untuk lebih keselesaan. Untuk pasaran Jepun, sasaran jualannya dalam tempoh setahun adalah sebanyak 3,500 unit.