Salah sebuah model motosikal menarik yang ditawarkan di pasaran Indonesia dan Filipina pada ketika ini ialah Honda CRF150L 2021. Merupakan sebuah jentera dual-purpose yang serba boleh dan tahan lasak, model tersebut dirasakan sangat sesuai untuk kegunaan di pasaran Malaysia, sama ada untuk tunggangan on-road atau pun tunggangan off-road.
Antara kelebihan Honda CRF150L ini ialah jarak travel fork depan dan suspensi belakang yang tinggi, jarak kelegaan bumi yang cukup luas, bunga tayar yang tebal dan kedudukan muffler ekzos yang cukup tinggi. Dengan semua kelebihan yang dimiliki itu, ianya mampu meredah laluan yang mencabar, termasuk meredah anak sungai atau kawasan banjir.
Honda CRF150L juga pastinya sesuai untuk kegunaan di kawasan luar bandar, atau untuk kegunaan di kawasan ladang dan sebagainya. Untuk kegunaan urban juga tentunya tidak menjadi masalah untuk sesebuah model dual-purpose sepertinya. Namun sehingga kini masih belum ada sebarang petunjuk bilakah ianya akan dilancarkan di pasaran Malaysia.
Aspek spesifikasi memperlihatkan Honda CRF150L ini dikuasakan enjin dalam sesaran 150cc (4-stroke, 2-valves, SOHC, air-cooled, PGM-FI), seterusnya dipadankan transmisi lima kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai paras 12.91PS @ 8,000rpm, dengan tork maksimumnya 12.43Nm @ 6,500rpm (model versi Indonesia).
Honda CRF150L dilengkapi tangki bahan api 7.2 liter, dengan tahap kecekapan bahan api yang dikatakan begitu menjimatkan. Fork depannya merupakan jenis terbalik, dipadankan dengan suspensi belakang jenis Pro-Link. Di bahagian brek, ianya dilengkapi brek cakera depan dan belakang, dengan roda bersaiz 70/100-21 (depan) dan 90/100-18 (belakang).
Antara ciri-ciri menarik lain yang melengkapi model tersebut adalah seperti lampu depan yang kompak, panel meter digital, fender belakang plug & play, dan memiliki berat hanya 122 kg sahaja. Untuk makluman, Honda CRF150L dijual di pasaran Filipina dengan harga ₱ 135,900.00 (RM 11,143.21), dan Rp. 34,745,000 (RM 10,271.98) di pasaran Indonesia.