Yamaha MT-03 Iron Man 2022 muncul di pasaran Brazil

Untuk pasaran Brazil, model naked Yamaha MT-03 kini muncul dalam watak adiwira Iron Man, versi istimewa yang dikeluarkan sebagai model edisi terhad. Harga jualannya adalah sebanyak BRL 27,790.00, bersamaan RM 21,164.32 mengikut kadar semasa. Spesifikasi teknikal untuk model tersebut kekal sama, tanpa tambahan kuasa luar biasa Iron Man.

Yamaha MT-03 Iron Man 2022 dikuasakan enjin berkapasiti 321cc (liquid-cooled, DOHC, 4-stroke, 4-valves) dengan gandingan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 42PS @ 10,750rpm dengan tork maksimum 29Nm @ 9,000rpm. Model lincah dan sporty itu seterusnya dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 14 liter.

Yamaha MT-03 Iron Man 2022 turut dilengkapi fork depan jenis USD, suspensi belakang monoshock dengan ciri pelarasan prabeban, sistem brek cakera di bahagian depan dan belakang yang masing-masing berukuran 298 mm dan 220 mm, lengkap dengan sistem ABS dua saluran, panel instrumen digital LCD dan juga sistem lampu LED sepenuhnya.

Spesifikasi lain adalah seperti saiz tayar depan dan belakang masing-masing 110/70-R17 dan 140/70-R17, ketinggian tempat duduk 780 mm dan berat basah 169 kg. Bagi peminat setia Iron Man di Brazil, model ini pastinya akan menjadi rebutan. Untuk pemilik Yamaha MT-25 di pasaran Malaysia pula, adakah yang akan menjadikan versi ini sebagai pilihan?