Honda Winner X untuk pasaran Malaysia mungkin akan dikenali dengan nama baharu Honda RS-X 150

Honda Winner X bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, dengan jangkaan tarikh pelancarannya ialah pada bulan November 2021 depan. Setakat ini boleh dikatakan hampir semua kedai motosikal di seluruh negara telah membuka tempahan untuk model moped sporty yang dinanti-nantikan itu, termasuklah kedai motosikal Honda Impian X.

Bagaimanapun persoalannya ketika ini ialah sama ada pihak Boon Siew Honda Sdn. Bhd. akan mengekalkan nama asal Honda Winner X untuk model berkenaan, atau bakal tampil dengan nama baharu yang berbeza. Akhirnya menurut sumber maklumat terkini, Honda Winner X untuk pasaran Malaysia mungkin akan dikenali dengan nama Honda RS-X.

Atau lebih tepat lagi nama baharu itu ialah Honda RS-X 150 2022. Ini adalah berdasarkan maklumat pendaftaran nama sebuah model motosikal baharu di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, seperti mana dalam gambaran imej di atas. Jika tidak salah, pendaftaran nama model itu telah dilakukan oleh Boon Siew Honda, merujuk kepada model Honda Winner X.

Nama Honda RS-X atau Honda RS-X 150 ini boleh dikatakan agak menarik, namun tidak pasti sama ada ianya telah dimuktamadkan oleh Boon Siew Honda. Nama itu masih lagi mempunyai legasi daripada nama model terdahulu iaitu Honda RS150R, dan secara tidak langsung ianya memberi perbezaan yang jelas di antara kedua-dua model berkenaan.

Sumber : Vanhoe Rage