Modenas Ninja 250 2022 dikhabarkan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia mulai suku pertama tahun depan

Model sport bike Modenas Ninja 250 buat pertama kalinya telah dipertontonkan kepada umum di lobi bangunan MITI sewaktu pelancaran Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berlangsung dalam bulan Februari 2020 yang lepas. Menurut Modenas pada ketika itu, Modenas Ninja 250 telah dirancang untuk diperkenalkan di pasaran Malaysia seawal separuh kedua tahun 2020.

Namun begitu disebabkan oleh berlakunya pandemik Covid 19 dan timbulnya beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, pelancaran model tersebut masih lagi tertangguh sehingga kini. Akhirnya selepas Modenas melalui anak syarikatnya EMOS yang secara rasminya dilantik sebagai pengedar eksklusif Kawasaki di pasaran Malaysia baru-baru ini, harapan untuk melihat pelancaran model berkenaan kini semakin hampir dan pasti.

Menurut maklumat terkini daripada rakan media Motomalaya.net, Modenas Ninja 250 yang dilencanakan semula daripada model Kawasaki Ninja 250 kini telah disahkan bakal dilancarkan sekitar hujung suku tahun pertama 2022. Perkara itu telah pun disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, sewaktu berlangsungnya sesi Track Day Modenas Bersama Media yang berlangsung di 3StonePark, Glenmarie, pada hari ini.

Pada masa yang sama menurut Roslan, pihak Modenas akan meneruskan perancangan sebelum ini yang membabitkan penjenamaan semula beberapa model Kawasaki bermula dari kapasiti enjin 250cc sehingga 650cc, namun perkara berkenaan buat masa ini masih lagi dalam peringkat perbincangan. Menurut beliau lagi, Kawasaki Heavy Industries (KHI) akan menghantar seorang wakil dari Jepun yang akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) bagi membantu untuk melancarkan kerjasama Modenas-Kawasaki.

Mengenai Modenas Ninja 250 yang bakal dilancarkan berdasarkan maklumat terdahulu, ianya merupakan model tahun 2020 dengan penarafan Euro 4, dan tampil dengan warna Metallic Spark Black / Metallic Matte Graphite Gray, sama seperti model Kawasaki Ninja 250 yang dijual di pasaran Jepun pada ketika itu. Namun begitu pilihan warna kini mungkin telah pun berubah, berdasarkan model terbaharu Kawasaki Ninja 2022 di pasaran Jepun.

Dari segi prestasi, Modenas Ninja 250 dikuasakan enjin bersesaran 249cc dua silinder DOHC dengan sistem sejukan cecair, dengan penghasilan kuasanya mencapai 37PS @ 12,500rpm dan tork maksimum 23Nm @ 10,000rpm. Enjin berkenaan kemudiannya telah dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Berat motosikal mencapai tahap 167 kg (curb mass), manakala tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 14 liter.

Apabila dilancarkan nanti, Modenas Ninja 250 dijangka akan ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan berbanding harga Kawasaki Ninja 250. Di pasaran tempatan sebelum ini, Kawasaki Ninja 250 ditawarkan pada harga sekitar RM 23k. Untuk maklumat selanjutnya, kita perlu menunggu perkembangan terkini daripada pihak Modenas dan Kawasaki, yang dijangka akan dimuktamadkan secara rasmi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.