HLYM akan melancarkan model baharu pada tarikh 15hb. Oktober 2021, adakah ianya Yamaha YZF-R7 2022?

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) telah mengumumkan bahawa syarikat itu bakal melancarkan sebuah model terbaharu pada tarikh 15hb. Oktober 2021 (Jumaat). Berdasarkan video teaser yang disiarkan di dalam laman Facebook rasmi Yamaha Motor Malaysia, model tersebut tampil dengan tagline “Elegant & Luxurious (Premium Finish)”.

Sebelum itu melalui video teaser pertama yang telah disiarkan pada dua hari yang lepas, petunjuk awal yang diberikan adalah melalui tagline menarik “Now With More Power (New Powerful Engine), yang memberikan bayangan bahawa model terbaharu itu kini dilengkapi enjin yang lebih berkuasa. Pasti ianya merupakan sebuah model yang berprestasi tinggi.

Setakat ini, model yang dijangka akan dilancarkan itu ialah Yamaha YZF-R7 2022, kerana ianya merupakan sebuah model serba baharu sepenuhnya. Tambahan pula, model sport bike berkenaan baru saja dilancarkan di pasaran Thailand pada beberapa hari yang lepas. Jadi tidak mustahil selepas Thailand, giliran Malaysia pula untuk menerima kehadirannya.

Untuk pasaran Thailand, Yamaha YZF-R7 ditawarkan dengan harga jualan THB 339,000, iaitu bersamaan hanya RM 41,714.23, mengikut nilai tukaran mata wang semasa. Untuk pasaran Malaysia, harga jualannya nanti dijangka tidak banyak berbeza dengan harga di pasaran Thailand. Namun adakah benar Yamaha YZF-R7 yang akan dilancarkan nanti?

Model-model terbaharu lain yang telah dilancarkan oleh Yamaha di pasaran antarabangsa sebelum ini antaranya termasuklah Yamaha MT-07 2021, Yamaha MT-09 2021, dan juga model Yamaha YZF-R15 V4 2021 di pasaran India. Untuk melihat model terbaharu yang manakah akan dilancarkan oleh HLYM, sama-sama kita tunggu majlis pelancarannya.