Triumph Motorcycles baru-baru ini rasmi memperkenalkan jentera touring terbaharu iaitu Triumph Tiger Sport 660 2022 untuk pasaran Eropah. Menariknya ialah model berkenaan akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia pada awal tahun depan, menurut sumber dari media tempatan, di samping model Triumph Trident 660 yang dilancarkan sebelum ini.
Untuk pasaran Eropah, Tiger Sport 660 mempunyai tiga pilihan warna menarik iaitu Korosi Red / Graphite, Lucerne Blue / Sapphire Black dan Graphite / Black. Untuk pasaran di UK, harga jualannya bermula dari £8,450.00, bersamaan RM 48,061.20 (kadar semasa). Oleh itu harganya untuk pasaran Malaysia nanti pasti dalam anggaran sekitar RM 50k sahaja.
Dikuasakan enjin triple 660cc (liquid-cooled, 12 valve, DOHC, inline 3-cylinder, 240° firing order), Triumph Tiger Sport 660 menawarkan kuasa maksimum 81PS @ 10,250rpm dan tork maksimum 64Nm @ 6,250 rpm. Enjin berprestasi tinggi itu kemudiannya dipadankan transmisi 6-kelajuan yang lancar, yang turut dibantu oleh sistem Assist & Slipper Clutch.
Di bahagian suspensi, model tersebut dilengkapi fork depan Showa 41 mm jenis terbalik, bergandingan dengan suspensi belakang Showa monoshock RSU (with remote hydraulic preload adjustment). Sistem breknya terdiri daripada cakera berkembar 310 mm dengan kaliper Nissin dua piston di bahagian depan, manakala di bahagian belakang ialah cakera tunggal 255 mm dengan kaliper Nissin satu piston, lengkap dengan ABS two-channel.
Pelbagai spesifikasi standard bertaraf premium lain yang melengkapi Triumph Tiger Sport 660 termasuklah ride-by-wire throttle, switchable traction control, riding modes (Road and Rain), panel instrumen TFT pelbagai fungsi dengan ciri sambungan (connectivity system) ke aplikasi My Triumph (pilihan aksesori) dan sistem immobiliser untuk ciri keselamatan.
Untuk perjalanan lebih jauh, Triumph Tiger Sport 660 dilengkapi tangki bahan api 17.2 liter. Tempat duduk dengan ketinggian 835 mm dan skrin penghadang angin yang boleh dilaras dengan sebelah tangan ketika tunggangan pula menawarkan lebih keselesaan dan juga kemudahan. Seterusnya sistem lampu LED hadir dengan ciri self-cancelling indicators.
Menurut Triumph Motorcycles, lebih 40 jenis pilihan aksesori tersedia untuk model touring berkenaan. Lebih dari itu, Tiger Sport 660 turut menawarkan kos penyelenggaran terendah di dalam kategorinya, dengan selang servis antara 16,000 km atau 12 bulan. Jaminan dua tahun hadir tanpa had perbatuan, dengan pilihan lanjutan selama setahun atau dua tahun.