Honda Winner X @ Honda RS150R V3 2022 untuk pasaran Malaysia, nama baru atau kekal sama?

Menjelang pelancaran rasmi Honda Winner X @ Honda RS150R V3 2022 untuk pasaran Malaysia yang dijangka akan berlangsung pada bulan November depan, semakin ramai peminat model berkenaan yang tidak sabar-sabar menantikan kemunculannya. Apa yang lebih mengujakan ialah semakin banyak kedai Honda Impian X yang telah pun membuka tempahan, di samping kedai-kedai motosikal lain yang menjadi wakil pengedar Honda.

Setakat ini melalui tinjauan di dalam laman media sosial dan juga tinjauan yang dilakukan di lapangan, didapati telah ramai peminat Honda Winner X yang membuat tempahan, agar menjadi pelanggan pertama yang akan memilikinya selepas dilancarkan nanti. Apa yang boleh dikatakan, Honda Winner X telah menjadi sebuah model idaman ramai yang selama ini sangat dinanti-nantikan kemunculannya, tanpa rasa jemu dengan penuh pengharapan.

Antara sebab-sebab utama kenapa Honda Winner X begitu mendapat perhatian daripada peminat motosikal di Malaysia ialah kerana reka bentuknya yang sporty, enjin 150cc yang berkuasa dengan teknologi DOHC, dilengkapi sistem brek ABS yang mantap, instrumen panel meter berwarna-warni yang canggih dan cantik dipandang, mudah diubahsuai untuk menjadi sebuah jentera agresif, serta terdapat begitu banyak pilihan aksesori menarik.

Namun persoalannya ialah adakah model yang dikenali dengan nama Honda Winner X di pasaran Vietnam itu akan turut dikenali dengan nama yang sama di pasaran Malaysia? Sebelum pelancaran Honda Winner X di pasaran Vietnam, generasi sebelumnya dikenali dengan nama Honda Winner (Honda RS150R V1 di pasaran Malaysia), bermakna model itu menggunakan nama yang berlainan untuk pasaran Vietnam dan pasaran Malaysia.

Oleh itu besar kemungkinan Honda Winner X yang bakal dilancarkan di pasaran Malaysia kelak akan diberi nama baharu, yang setakat ini popular dengan nama Honda RS150R V3 2022. Bagaimanapun nama Honda RS150R V3 dirasakan kurang sesuai untuk menjadi pengganti kepada nama Honda Winner X. Mungkin pihak Boon Siew Honda mahu model tersebut tampil dengan nama baharu, atau hanya mengekalkan nama Honda Winner X.

Jika nama baharu yang akan diberikan, adakah ianya Honda RS150X? Sejujurnya, adalah lebih baik nama Honda Winner X terus dikekalkan, kerana ianya kini telah banyak berada di pasaran selain Vietnam, dan masih menggunakan nama asalnya Honda Winner X. Bak kata pepatah Inggeris, “if it ain’t broke, don’t fix it”. Bagaimanapun untuk kepastian, sama-sama kita tunggu kemunculan rasmi model moped yang bakal menjadi kegilaan ramai ini.