Aveta Ranger 110 2021 kini tampil dengan empat pilihan warna terbaharu yang lebih menarik dan segar

Untuk peminat motosikal kapcai bergaya ranggi dan unik Aveta Ranger 110, berita baik yang baru diterima ialah model tersebut kini tampil dengan empat pilihan warna terbaharu yang lebih menarik dan segar iaitu Biru, Kuning, Merah dan Oren. Berdasarkan imej yang disiarkan, model berkenaan juga kini telah dilengkapi bakul untuk kemudahan ke pasar.

Aveta Ranger 110 2021 dengan empat pilihan warna terbaharu itu ditawarkan pada harga RM 3,380.00 sahaja (termasuk insuran third party & kos pendaftaran), menurut maklumat yang diiklankan oleh EL Chong Motor Trading Sdn. Bhd. baru-baru ini di dalam laman jual beli popular Mudah.my. Harga jualan tersebut pastinya berpatutan dan mampu milik.

Aveta Ranger 110 seperti mana yang kita ketahui sebelum ini, dilengkapi enjin berkapasiti 110cc dengan sistem sejukan udara dan kotak gear empat kelajuan jenis berputar. Enjin yang telah menerima penarafan sebagai kenderaan cekap tenaga itu menghasilkan kuasa maksimum 7.8hp (5.8kW) @ 7,500rpm, dengan tork maksimum 7.8Nm @ 6,500rpm.

Spesifikasi lain yang melengkapi Aveta Ranger 110 ini antaranya termasuklah fork depan teleskopik, penyerap hentak belakang berkembar, sistem brek depan dan belakang jenis gelendong, sport rim lima bilah yang bergaya dan lampu depan jenis bulat ala retro. Aveta Ranger 110 merupakan sebuah motosikal yang memenuhi gaya hidup aktif masa kini.