Pada penghujung tahun lepas, Ducati Monster 2021 serba baharu secara rasminya telah diperkenalkan untuk pasaran Eropah. Kini untuk pasaran Malaysia, model naked tersebut telah pun dilancarkan pada hari ini, dengan harga jualan asas yang berpatutan iaitu hanya sebanyak RM 69,900.00 sahaja, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.
Ducati Monster 2021 merupakan sebuah model serba baharu sepenuhnya, dibangunkan di atas kerangka baharu aluminium Front Frame yang diinspirasikan daripada Panigale V4, dan lebih ringan berbanding kerangka trellis. Penampilan keseluruhan Monster kali ini juga lebih segar, sporty dan pada masa yang sama mengekalkan perwatakan agresifnya.
Model tersebut dikuasakan enjin 937cc (Testastretta 11°, V2 – 90°, 4 valves per cylinder, desmodromic valvetrain, liquid cooled) yang bertaraf Euro 5, dan menghamburkan kuasa maksimum 111hp @ 9,250rpm dengan tork puncak 93Nm @ 6,500rpm. Sistem transmisi enam kelajuannya kemudian telah digandingkan dengan sistem Quick Shift Up & Down.
Ducati Monster 2021 bukan saja ringan, malah mempunyai reka bentuk kompak dan lebih langsing berbanding Monster sebelumnya. Oleh itu ianya dikatakan lebih mudah dikawal, efektif, pantas dan menawarkan tunggangan yang begitu menyeronokkan. Tinggi tempat duduknya yang selesa ialah 820 mm, dan turut tersedia pilihan tempat duduk 800 mm.
Aspek teknologi memperlihatkan Ducati Monster 2021 dilengkapi kelengkapan standard seperti ABS Cornering, Traction Control dan Wheelie Control, dengan penyesuaian tahap intervensi yang berbeza. Selain itu ialah sistem Launch Control untuk permulaan sepantas kilat, dan Riding Modes (Sport, Urban, Touring) yang berdasarkan citarasa penunggang.
Selain itu ianya juga dilengkapi paparan panel instrumen TFT berukuran 4.3 inci, sistem lampu LED dengan DRL, lampu penunjuk arah Dynamic, fork depan upside-down 43 mm, suspensi belakang monoshock boleh laras dan brek depan Brembo 320 mm. Di bahagian roda, ianya dilengkapi tayar bersaiz 120/70-ZR17 (depan) dan 180/55-ZR17 (belakang).
Untuk pasaran Malaysia, Ducati Monster 2021 serba baharu ini didatangkan dengan tiga pilihan warna yang menarik iaitu Ducati Red (with black wheels), Dark Stealth (with black wheels) dan Aviator Grey (with red wheels). Untuk tempahan secara dalam talian, Ducati Malaysia telah menyediakan pautan berkaitan di dalam laman Facebook rasmi mereka.