Setelah lama menanti, Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. pada bulan September 2021 baru-baru ini secara rasminya telah mengumumkan ketibaan model moped Suzuki Belang R150 FI 2022 untuk pasaran tempatan. Bagaimanapun pelancaran rasmi model berkenaan hanya akan berlangsung pada akhir tahun ini, atau selewat-lewatnya pada awal tahun depan.
Suzuki Belang R150 FI boleh dikatakan sebagai pencabar sebenar kepada model-model moped popular yang lain, antaranya seperti Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan yang ianya juga setanding dengan model-model terbaharu lain seperti Honda Winner X, Benelli R18i, SYM VF3i 185 dan juga Yamaha Y16ZR.
Antara kelebihan yang dimiliki oleh Suzuki Belang R150 FI ialah enjinnya yang berprestasi dan tahap kelajuan maksimum yang tinggi, dikatakan mencapai antara 145 km/j sehingga 155 km/j. Ianya dilengkapi enjin empat lejang 147.3cc (DOHC, 4-valve, liquid-cooled, fuel injection), dengan kuasa maksimum 18.2hp @ 10,000rpm dan tork 13.8Nm @ 8,500rpm.
Namun apa yang penting ialah berapakah harga jualan yang bakal ditawarkan oleh Suzuki Malaysia terhadap model moped yang mempunyai ramai peminat tegar ini? Adakah harga jualan asasnya nanti akan bersamaan dengan harga Yamaha Y15ZR, iaitu RM 8,168.00? Atau bersamaan dengan harga jualan asas Benelli R18i iaitu sebanyak RM 7,999.00?
Berdasarkan jangkaan awal, Suzuki Belang R150 FI 2022 untuk pasaran Malaysia nanti besar kemungkinan akan ditawarkan dengan harga jualan asas yang berpatutan, di antara RM 8,000 sehingga RM 9,000.000 sahaja. Harga jualan yang akan ditetapkan itu pastinya bersesuaian dan mampu bersaing dengan harga yang ditawarkan oleh model-model lain.
Sangat menarik sebenarnya untuk melihat prestasi jualan Suzuki Belang R150 FI 2022 di pasaran negara kita apabila ianya dilancarkan nanti. Bagi peminat yang mementingkan prestasi enjin yang berkuasa dan kelajuan maksimum yang tinggi, sudah pasti tidak akan berfikir lama untuk memiliki sebuah jentera hebat yang bakal tiba di pasaran tempatan ini.