QJ Motor dan Benelli dijangka bakal melancarkan model adventure terbaharu dengan enjin 650cc V-Twin

Syarikat pengeluar motosikal dari China iaitu Zhejiang Qianjiang Motorcycle Co., Ltd. kini dikatakan bakal melancarkan sebuah model motosikal adventure terbaharu dengan enjin 650cc V-Twin. Maklumat berkenaan telah terdedah baru-baru ini melalui lakaran imej dan pendaftaran paten yang dilakukan oleh syarikat induk kepada QJ Motor dan Benelli itu.

Ini bermakna model adventure dalam kelas pertengahan itu berkemungkinan besar akan dilancarkan untuk kedua-dua jenama motosikal iaitu QJ Motor untuk pasaran China dan Benelli untuk pasaran global. Saingannya nanti adalah seperti Aprilia Tuareg 660, Suzuki V-Strom 650XT, Kawasaki Versys 650, Yamaha Tenere 700, dan KTM 890 Adventure.

Melihat kepada imej lakaran paten yang disiarkan, model berkenaan tampil dengan gaya rekaan yang sporty dan gagah, dan lengkap dengan pelbagai spesifikasi dan ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi sebuah model adventure sebenar. Kemunculan rasminya pula mungkin akan berlangsung tidak lama lagi, sebelum tiba di pasaran mulai tahun 2022.

Apa yang menariknya mengenai model adventure ini apabila ianya dilancarkan di pasaran global nanti ialah harganya pasti mampu milik. Ini adalah berdasarkan harga-harga model motosikal yang ditawarkan oleh Benelli ketika ini yang kebanyakannya sangat berpatutan. Diharapkan model ini akan turut dilancarkan di pasaran negara kita oleh Benelli Malaysia.

Sumber gambar : Vanhoe Rage FB