Honda Impian X buka tempahan rasmi Honda Winner X

Bermula sejak pertengahan bulan September 2021 yang lepas, kebanyakan wakil jualan dan kedai motosikal telah pun membuka tempahan untuk model moped Honda Winner X. Tempahan tersebut boleh dikatakan tidak dibuka secara rasmi, kerana model moped yang menjadi idaman ramai peminat itu belum lagi sah dilancarkan oleh Boon Siew Honda.

Namun bagaimana pula sekiranya tempahan itu dibuka oleh wakil penjual Honda daripada salah satu cawangan Honda Impian X? Honda Impian X merupakan bilik pameran konsep yang diperkenalkan oleh Boon Siew Honda sejak bulan Januari 2018 yang lalu, dan ianya merupakan bilik pameran yang serba lengkap di samping bilik pameran Honda BigWing.

Berdasarkan status terkini di dalam laman Facebook yang disiarkan kelmarin oleh Honda Impian X – Chai Ken Motorcycles Puchong, kedai motosikal tersebut secara rasminya telah membuka tempahan untuk Honda Winner X yang akan dilancarkan nanti. Jadi tidak mustahil cawangan Honda Impian X yang lain juga telah turut sama membuka tempahan.

Dengan pembukaan tempahan untuk model Honda Winner X oleh kedai motosikal Honda Impian X, secara tidak langsung telah membuktikan bahawa model moped yang ditunggu-tunggu itu sememangnya akan dilancarkan dalam masa terdekat. Berdasarkan maklumat terdahulu, pelancarannya akan berlangsung dalam bulan November 2021 akan datang.