Model sport bike Honda CBR150R 2021 telah pun selamat dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia semalam. Sebelum ini ramai yang tidak yakin bahawa model tersebut akan dilancarkan, walaupun Arena Motosikal telah memberikan petunjuk awal bermula dari bulan Mei 2021 lagi, berdasarkan sumber yang sememangnya boleh dipercayai.
Namun begitu ramai peminat motosikal tempatan yang merasa kecewa, kerana mereka sebenarnya mengharapkan Boon Siew Honda melancarkan model moped yang selama ini begitu dinanti-nantikan iaitu Honda Winner X. Ketika ini, Honda Winner X ditawarkan di pasaran Vietnam, Burkina Faso, Singapura, Kemboja, Jepun dan juga Maldives.
Untuk pasaran Malaysia, berita baiknya ialah melalui sumber maklumat yang baru saja diperolehi, Honda Winner X telah dikhabarkan bakal dilancarkan pada hujung tahun ini. Kelibat model moped itu sememangnya telah dikesan oleh peminat motosikal tempatan sejak beberapa bulan yang lepas, ketika ianya sedang ditunggang uji di jalan raya.
Jadi dengan pelancaran model Honda Winner X di pasaran Malaysia pada hujung tahun ini, maka berakhirlah suatu penantian yang boleh dikatakan agak lama, iaitu sejak ianya dilancarkan buat pertama kali di pasaran Vietnam pada bulan Julai 2019. Adakah nama Honda Winner X akan dikekalkan atau diberikan nama baru, menarik untuk kita tunggu.
Berdasarkan pemerhatian sejak dua tahun yang lepas, Honda Winner X begitu popular di kalangan peminat motosikal moped tempatan. Mungkin kerana penampilannya yang sporty, atau mungkin kerana enjinnya yang berkuasa dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, atau mungkin juga kerana ianya mempunyai sistem brek dengan ABS.
Yang pasti apabila ianya dilancarkan nanti, Honda Winner X akan memberikan saingan sengit kepada model moped popular Yamaha Y16ZR dan dan Benelli R18i. Berkenaan harga, jangkaan awal Honda Winner X akan ditawarkan sekitar RM 9,500.00, anggaran harga yang hampir sama seperti di pasaran Vietnam, untuk model dengan brek ABS.