Kawasaki Z900 SE 2022 diperkenalkan di pasaran Eropah, tampil dengan naik taraf brek dan sistem suspensi

Model naked berprestasi tinggi Kawasaki Z900 2022 baru-baru ini rasmi diperkenalkan untuk pasaran Eropah, tampil dengan tiga pilihan warna terbaharu yang lebih segar dan sporty berbanding model tahun sebelumnya. Bagaimanapun selain daripada perubahan warna terbaharu, aspek teknikal masih kekal sama tanpa sebarang naik taraf terkini.

Mungkin sebab itulah Kawasaki Motor Europe pada tarikh 16hb. September 2021 yang lalu telah memperkenalkan pula model Kawasaki Z900 SE 2022, dengan beberapa naik taraf lebih premium. Berbanding versi standard, versi SE atau Special Edition kini telah menerima peningkatan pada bahagian brek depan, fork depan dan suspensi belakang.

Pada bahagian brek depan, Kawasaki Z900 SE telah menerima pakej daripada Brembo iaitu kelengkapan sepasang cakera dengan diameter 300 mm, yang kemudiannya diapit oleh kaliper radial-mount monobloc M4.32. Naik taraf berkenaan kini telah memberikan daya dan prestasi pemberhentian yang lebih mantap, lebih terkawal dan lebih berkesan.

Beralih ke bahagian fork depan, naik taraf yang diterima telah membolehkan pelarasan sepenuhnya untuk mampatan, pantulan dan juga prabeban (compression, rebound and preload). Untuk gaya kosmetik yang lebih menarik dan membezakannya dengan model standard, fork depan berkenaan kini tampil dengan warna emas yang lebih berprestij.

Seterusnya pada bahagian belakang, sistem suspensi monoshock kini telah digantikan dengan unit Öhlins S46, yang mana ianya dibina dengan cara yang serupa pada model Z1000 R Edition. Untuk lebih kemudahan dan operasi yang lebih pantas ketika melaras, penyerap hentakan premium tersebut turut dilengkapi dengan ‘remote preload adjuster’.

Untuk pasaran Eropah, Kawasaki Z900 SE 2022 hanya disediakan dalam pilihan warna tunggal Metallic Spark Black / Candy Lime Green. Harga jualan yang ditawarkan untuk model tersebut berdasarkan maklumat yang tertera untuk pasaran UK adalah sebanyak £ 10,749, bersamaan nilai RM 61,612.82 sahaja, berdasarkan kadar tukaran semasa.