WMoto F-15 bakal dilancarkan, adakah ianya model moped terbaharu dengan enjin 150cc?

WMoto Malaysia baru-baru ini telah didapati mendaftarkan nama baharu WMoto F-15 di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, bertarikh 10hb. September 2021. Setakat ini, nama baharu itu mungkin merujuk kepada nama sebuah model moped terbaharu yang bakal dilancarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi, dengan enjin dalam sesaran 150cc.

Berdasarkan informasi yang terhad, jika benar ianya adalah model moped WMoto F-15, mungkin model yang dimaksudkan itu adalah sama dengan model Rusi Flash 150 EFI, yang sebelum ini telah dilancarkan di pasaran Filipina. Tampil dengan gaya rekaan yang sporty, ianya dijangka mampu memberikan saingan kepada model-model moped lain.

Tarikh pelancaran rasmi model terbaharu WMoto F-15 buat masa ini masih belum dapat dipastikan, namun besar kemungkinan ianya akan dilancarkan tidak lama lagi, mungkin dalam suku keempat tahun ini juga. Menjelang pelancaran rasminya nanti, pihak WMoto Malaysia tentunya akan menyiarkan imej atau video ‘teaser’ mengenai model tersebut.

Dengan pelancaran WMoto F-15 ini, jangkaan bahawa ianya merupakan model moped terbaharu dengan enjin 150cc, pasaran motosikal tempatan pastinya bertambah meriah selepas ini. Model-model moped lain yang akan turut dilancarkan dalam tempoh masa yang terdekat ini antaranya ialah Suzuki Belang R150 FI dan juga Honda Winner X.

Sumber : Vanhoe Rage FB