Suzuki memperkenalkan model terbaharu Suzuki GSX-S1000GT 2022, akan berada di pasaran UK mulai bulan November 2021. Harga jualan yang ditawarkan ialah sebanyak £11,599, bersamaan RM 66,484.98. Model Grand Touring itu tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu Metallic Triton Blue, Metallic Reflective Blue dan juga Glass Sparkle Black.
Pada pandangan pertama, Suzuki GSX-S1000GT ternyata kelihatan radikal dan agresif, sama seperti model Suzuki GSX-S1000 2021 yang menjadi asasnya. Lampu depannya tampil dengan gaya rekaan horizontal yang mirip lampu depan model Yamaha YZF-R1, menjadikannya mempunyai daya tarikan tersendiri yang pastinya lebih unik dan segar.
Suzuki GSX-S1000GT memiliki enjin 999cc (4-stroke, 4-cylinder, liquid-cooled, DOHC) bertaraf Euro 5, dan menghasilkan kuasa maksimum 152PS @ 11,000rpm dengan tork maksimum 106Nm @ 9,250rpm. Enjin berkenaan dipadankan transmisi enam kelajuan dengan teknologi Suzuki Clutch Assist System (SCAS) dan bi-directional quickshifter.
Sebagai model Sports Tourer atau Grand Touring sebenar, Suzuki GSX-S1000GT hadir dengan ciri aerodinamik pada tahap tertinggi dan corak tunggangan yang selesa. Model tersebut turut dilengkapi pakej sistem bantuan elektronik yang diperlukan, seperti mana yang terdapat di dalam rangkaian Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) yang canggih.
Antaranya seperti sistem pendikit ride-by-wire dengan pilihan tiga corak pemetaan enjin sama ada A,B atau C, sistem traction control dengan lima pilihan mod dan sistem cruise control. Melengkapkan lagi sistem bantuan elektronik tersebut ialah Suzuki Easy Start System dan Low RPM Assist, yang memberikan lebih kemudahan kepada penunggang.
Seterusnya, semua informasi yang diperlukan dipaparkan melalui panel instrumen TFT berwarna yang bersaiz 6.5 inci, dengan sokongan sambungan ke telefon pintar dengan menggunakan aplikasi terbaharu Suzuki mySPIN. Pelbagai kemudahan ditawarkan oleh aplikasi tersebut termasuklah navigasi, komunikasi, muzik dan juga kemaskini kalendar.
Selain enjin yang berkuasa, prestasi tunggangan Suzuki GSX-S1000GT diperkemaskan lagi oleh penggunaan fork depan upside-down KYB yang boleh dilaraskan sepenuhnya, dengan gandingan suspensi belakang yang juga boleh dilaraskan (preload and rebound damping adjustable rear shock), menjadikan model GT tersebut lebih lincah dan stabil.
Meningkatkan lagi tahap kawalan dan kestabilannya, Suzuki GSX-S1000GT dibekalkan tayar berprestasi tinggi Dunlop SPORTMAX Roadsport2, dalam siri 120/70-R17 (depan) dan 190/50-R17 (belakang). Untuk keselamatan maksimum, brek depan Brembo tampil dengan sepasang cakera 310 mm, diapit oleh kaliper monoblok dengan empat piston.
Tidak dilupakan, Suzuki GSX-S1000GT 2022 didatangkan bersama-sama sistem lampu LED sepenuhnya, tangki bahan api dengan kapasiti penuh 19 liter, tinggi tempat duduk 810 mm, jarak kelegaan bumi 140 mm, dan berat 226 kg (kerb mass). Untuk maklumat selanjutnya, saksikan gambar-gambar menarik model berkenaan dalam galeri di bawah.
Galeri : Suzuki GSX-S1000GT 2022
Galeri : Suzuki GSX-S1000GT 2022 (Accessories)