GPX Demon GR200R 2021 di pasaran Thailand kini dilengkapi enjin empat injap, tiga pilihan warna terbaharu lebih sporty

Selepas lebih setahun berada di pasaran, model sport bike keluaran Thailand iaitu GPX Demon GR200R 2021 kini tampil dalam versi terbaharu, kini dilengkapi enjin dengan ciri empat injap atau 4-valves. Selain itu, tempat pemijaknya juga telah diangkat lebih tinggi berbanding model sebelumnya, untuk prestasi tunggangan yang lebih sporty.

Tiga pilihan skim warna terbaharu yang diperkenalkan pada kali ini juga kelihatan lebih menarik dan segar, dikenali dengan nama White Volpe Rossa, Yellow Puffer Roccia dan Black Onyx Hypersport. Kulit enjin pula kini berwarna merah, casis berwarna hitam dan kelabu, fork depan berwarna merah dan pelindung ekzos tampil dengan warna perak.

Enjin 198cc (satu silinder, sejukan cecair, teknologi suntikan bahan api GPX-Fi) dengan teknologi empat injap (4-valves) pada GPX Demon GR200R 2021 dijangka masih kekal dengan kuasa maksimum 19hp, namun jumlah tork kini meningkat ke paras 17.5Nm @ 7,500rpm, berbanding 17.2Nm @ 6,500rpm pada model terdahulu dengan dua injap.

Dengan pertambahan jumlah tork, tempat pemijak kaki yang kini lebih tinggi dan kotak gear enam kelajuan yang lancar, GPX Demon GR200R 2021 versi terbaharu ini sudah tentu akan menawarkan pengalaman tunggangan yang lebih sensasi dan agresif. Ciri-ciri lain yang ditawarkan pada model sport bike berkenaan juga tidak kurang hebatnya.

Antaranya seperti kerangka jenis trellis yang kukuh, meter digital yang bergaya moden, sistem lampu LED sepenuhnya, fork depan jenis upside-down dan suspensi belakang monoshock berjenama YSS (adjustable preload up to 7 levels), rantai DID 428 O-Ring yang tahan lama, dan tayar berprestasi RX-01 ROAD WINNER daripada IRC Tire.

Sistem pemberhentian yang lebih selamat pula diserahkan kepada sistem brek cakera 276 mm di bahagian depan, yang bergandingan dengan brek cakera belakang dengan ukuran 220 mm. Kemudiannya rim berukuran 17 inci dengan rekaan sporty dipadankan bersama-sama tayar depan yang bersaiz 100/80-R17 dan tayar belakang 140/70-R17.

GPX Demon GR200R turut dilengkapi tangki petrol dengan kapasiti 11 liter, ketinggian tempat duduk pada paras 815 mm dan berat hanya 155 kg (net weight). Untuk pasaran Thailand, harga istimewa yang ditawarkan untuk GPX Demon GR200R 2021 4-Valves yang kini lebih berkuasa dan sporty ini ialah THB 79,800, bersamaan RM 10,043.88.