Moto Guzzi merupakan pengeluar motosikal yang berasal dari Itali, bermula sejak tahun 1921 di sebuah bandar bernama Mandello del Lario. Bagi menyambut ulang tahun yang ke-100 pada tahun ini, Moto Guzzi bakal mempamerkan sebuah model terbaharu tidak lama lagi, bertempat di EICMA 2021 yang akan berlangsung pada November depan.
Bagaimanapun kita semua tidak perlu menunggu lama untuk melihat penampilan model yang diberi nama Moto Guzzi V100 Mandello itu, apabila Moto Guzzi baru-baru ini telah mendedahkan beberapa keping imej rasmi model tersebut. Cuma untuk maklumat yang lebih lengkap mengenai spesifikasinya, kita perlu menunggu bermulanya EICMA 2021.
Moto Guzzi V100 Mandello merupakan sebuah motosikal dalam segmen sports touring, tampil dengan gaya rekaan yang tersendiri dan unik. Model tersebut tampil dengan dua pilihan warna iaitu merah dan hijau, dikuasakan enjin ikonik dengan silinder pada posisi transverse, dan dijangka akan dilengkapi dengan pelbagai rangkaian teknologi moden.
Untuk maklumat selanjutnya, sama-sama kita tunggu kemunculan rasminya tidak lama lagi, di acara pameran motosikal antarabangsa EICMA atau Esposizione Internazionale Ciclo Motociclo e Accessori, atau lebih dikenali sebagai Milan Motorcycle Shows. Pada tahun ini, EICMA 2021 akan dibuka kepada pengunjung dari 25 – 28 November 2021.