Kawasaki Z650 2022 di pasaran Eropah tampil lebih sporty dengan kemaskini tiga warna baharu

Model naked Kawasaki Z650 2022 baru saja diperkenalkan untuk pasaran Eropah, kini tampil lebih segar dengan kemaskini tiga warna baharu. Ketiga-tiga skim warna baharu itu ialah Candy Lime Green / Metallic Spark Black, Pearl Robotic White / Metallic Matte Graphenesteel Gray, dan termasuklah Metallic Spark Black / Metallic Flat Spark Black.

Spesifikasi teknikal bagaimanapun tiada sebarang perubahan, dan kekal sama seperti model sebelumnya. Kawasaki Z650 dilengkapi enjin 649cc (4-stroke, 2-cylinder, DOHC, liquid-cooled) bertaraf Euro 5, dipadankan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch, dan menghasilkan 68PS @ 8,000rpm dengan tork 64Nm @ 6,700rpm.

Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi model naked sporty itu termasuklah rangka trellis yang ringan, panel meter digital TFT berwarna, sistem Bluetooth untuk penyambungan ke telefon pintar melalui aplikasi Kawasaki Rideology App, lampu depan dan belakang LED, tuas brek dan klac boleh laras, serta kapasiti tangki bahan api maksimum 15 liter.

Kawasaki Z650 versi 2022 ini seterusnya memiliki tempat duduk dengan ketinggian 790 mm, fork depan teleskopik 41 mm, suspensi belakang monoshock (Horizontal Back-link with preload adjustment), sistem brek cakera dengan ABS, roda di depan dan belakang berukuran 120/70-ZR17 dan 160/60-ZR17, dan berat keseluruhan 188 kg (curb mass).