BMW Motorrad Concept CE 02 diperkenalkan, jarak perjalanan 90 km, sesuai untuk kawasan urban

BMW Motorrad Concept CE 02 merupakan sebuah model konsep terbaharu yang telah diperkenalkan oleh BMW Motorrad baru-baru ini. Model konsep itu dikatakan bukanlah sebuah motosikal klasik atau pun sebuah skuter, sebaliknya menawarkan suatu sistem pengangkutan atau teknologi mobiliti yang menarik untuk kegunaan di kawasan urban.

Dengan reka bentuknya yang kompak, moden dan bergaya remaja, BMW Motorrad Concept CE 02 disasarkan kepada golongan berusia 16 tahun dan ke atas, yang mana mereka tidak pernah menunggang motosikal sebelum ini, namun terbuka untuk merasai pengalaman baharu melalui sistem mobiliti dan teknologi pintar yang menyeronokkan.

BMW Motorrad Concept CE 02 menawarkan kuasa maksimum 11kW. Jumlah keluaran tork pula kesemuanya tersedia dari awal, membolehkannya memecut laju ketika berada di persimpangan lampu isyarat, bermula dari keadaan pegun. Kelajuan maksimumnya ialah 90 km/j, menjadikannya mudah untuk ke mana sahaja di dalam kawasan bandar.

BMW Motorrad Concept CE 02 boleh dikatakan sebagai sebuah model fun bike elektrik yang menyeronokkan. Rekaan badannya adalah rata dan menyumbang kepada pusat graviti yang rendah, dengan tayar depan dan belakang (disc wheels) berukuran 15 inci. Dua unit bateri melengkapi model konsep itu, termasuk sistem lampu LED sepenuhnya.

Ketinggian tempat duduk BMW Motorrad Concept CE 02 hanyalah 730 mm, sementara beratnya ialah kira-kira 120 kg. Dengan reka bentuk kompak dan ringan, menjadikannya mudah untuk ditunggang terutamanya di kawasan bandar yang sibuk. Setakat ini belum pasti sama ada model konsep elektrik ini akan menjadi kenyataan pada masa depan.