Honda CBR150R 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, dua pilihan warna, harga jualan asas RM 12,499.00

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) hari ini secara rasminya melancarkan model sport bike terbaharu Honda CBR150R 2021 untuk pasaran Malaysia. Model tersebut tersedia dalam dua pilihan warna menarik iaitu Mat Charcoal Gray Metallic dan Candy Scintillate Red, dengan harga jualan asas hanya serendah RM 12,499.00 (harga bilik pameran).

Honda CBR150R 2021 buat pertama kalinya diperkenalkan di pasaran Indonesia, dan kemudiannya dilancarkan di pasaran Filipina, Bangladesh, Kemboja dan Laos. Untuk pasaran Vietnam pula, ianya belum dilancarkan secara rasmi, tetapi dibawa masuk oleh wakil penjual persendirian yang mengimportnya secara terus dari negara Indonesia.

Honda CBR150R 2021 kini tampil dengan gaya rekaan serba baharu yang lebih sporty, mirip model lebih besar Honda CBR250RR 2021. Lebih menarik, model berkenaan kini dilengkapi fork depan USD berwarna emas, sistem Assist & Slipper Clutch, ruang kokpit rekaan baharu yang lebih sensasi, dan lampu depan LED yang kini tampil lebih agresif.

Bagaimanapun di bahagian enjin, Honda CBR150R 2021 masih lagi mengekalkan enjin yang sama, seperti mana pada model generasi terdahulu Honda CBR150R 2020. Enjin berkapasiti 149.2cc (liquid-cooled, 1-cylincer, DOHC, 4-valve, PGM-FI) yang berprestasi itu menghasilkan kuasa maksimum 16.1hp @ 9,000rpm dan tork 13.7Nm @ 7,000rpm.

Melengkapkan spesifikasi Honda CBR150R 2021 ialah panel meter digital sepenuhnya, sistem lampu LED, sistem brek ABS dengan ciri Emergency Stop Signal, kapasiti tangki bahan api 12 liter, roda depan dan belakang dengan ukuran masing-masing 100/80-R17 dan 130/70-R17, ketinggian tempat duduk hanya 788 mm dan berat basah 139 kg.

Dengan pelancaran Honda CBR150R 2021 di pasaran Malaysia, peminat sport bike kini mempunyai pilihan yang lebih luas, selain daripada model Yamaha YZF-R15 atau GPX Demon GR200R. Namun pada masa yang sama, amatlah diharapkan pihak Boon Siew Honda akan turut melancarkan model moped Honda Winner X 2021 tidak lama lagi.