Susulan video teaser yang disiarkan oleh Modenas tempoh hari mengenai pelancaran sebuah model terbaharu tidak lama lagi, ramai yang tertanya-tanya model apakah yang bakal dilancarkan itu. Ramai peminat yang membuat tekaan bahawa model itu tidak lain dan tidak bukan pastinya Modenas Dominar 400 2021 versi kemaskini terbaharu.
Berdasarkan pemerhatian dan penelitian yang telah dilakukan, sememangnya Modenas dijangka akan melancarkan model tersebut, bagi menggantikan versi semasa Modenas Dominar 400 yang telah berada di pasaran sejak tahun 2018. Persoalannya, mampukah ianya menepati ciri-ciri sebagai model yang “lebih kuat, lebih pantas dan lebih agresif?”
Berasaskan model Bajaj Dominar 400 versi kemaskini terbaharu yang dilancarkan untuk pasaran India pada tahun 2020, model tersebut masih mengekalkan reka bentuk yang sama. Namun peningkatan lain yang dilakukan boleh dikatakan signifikan, termasuklah enjin bertaraf BS6 yang kini lebih berkuasa, meningkat kepada 40hp berbanding 35hp.
Selain itu, sistem transmisi model berkenaan telah ditala semula untuk prestasi pecutan yang lebih baik, dilengkapi fork depan jenis terbalik, sistem ekzos berkembar terbaharu, panel meter digital kedua dikatakan telah direka semula, termasuk rekaan lampu depan LED baharu dengan ciri ‘automatic headlamps on’, dan brek depan kini di sebelah kiri.
Berdasarkan maklumat terdahulu, Modenas Dominar 400 2021 mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam tempoh hanya 7.1 saat, seterusnya mampu mencapai tahap kelajuan maksimum sehingga 156 km/j. Jadi bolehlah dikatakan tagline “lebih kuat, lebih pantas dan lebih agresif” itu agak bertepatan untuk model dalam segmen sports tourer itu.
Bagaimanapun ini hanyalah jangkaan awal sahaja, dan tidak semestinya tepat. Mungkin Modenas akan melancarkan model lain yang lebih menarik. Namun setakat ini Modenas Dominar 400 2021 merupakan calon yang paling hampir. Untuk pengesahan rasmi, kita tunggu pelancarannya, yang dijangka akan berlangsung dalam masa yang terdekat ini.