Dalam bulan Januari 2021 yang lepas, Zontes dengan rasminya telah memperkenalkan sebuah model naked terbaharu untuk pasaran Eropah. Dikenali sebagai Zontes Z2-125, model tersebut tersedia dalam dua pilihan warna biru dan hitam, serta dikuasakan enjin bersesaran 125cc (single cylinder, DOHC, 4 valves, liquid cooled) yang bertaraf Euro 5.
Enjin dengan teknologi suntikan bahan api elektronik dari BOSCH itu mempunyai kuasa maksimum 14.5hp @ 9,000rpm, dengan tork puncak 13Nm @ 7,000rpm. Kemudiannya, enjin berkenaan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, bersama-sama sistem Assist & Slipper Clutch. Kapasiti maksimum tangki bahan apinya pula ialah 12.5 liter.
Zontes Z2-125 2021 didatangkan dengan pelbagai spesifikasi yang menarik dan serba lengkap, antaranya sistem lampu LED sepenuhnya, panel instrumen digital TFT dengan dua mod tunggangan Eco dan Sport, soket pengecas USB, fork depan terbalik, sistem suspensi belakang monoshock dengan pelarasan prabeban, dan swingarm aluminium.
Beralih ke bahagian keselamatan, Zontes Z2-125 dilengkapi brek cakera depan tunggal 300 mm dengan kaliper dua piston, dan digandingkan dengan cakera belakang tunggal 230 mm dengan kaliper satu piston. Sistem brek berprestasi itu seterusnya dipadankan dengan teknologi ABS daripada BOSCH (ABS Bosch 9.1M independent front / rear).
Zontes Z2-125 berdiri di atas roda yang berukuran 110/70-R17 (depan) dan 130/70-R17 (belakang). Ketinggian pelana model tersebut ialah 830 mm, sementara jarak kelegaan bumi berada pada paras 193 mm. Berat keseluruhannya mencapai 150 kg. Di pasaran Sepanyol, harga Zontes Z2-125 adalah sebanyak € 2,995, bersamaan RM 14,819.77.