Kawasaki Ninja 250 2022 terima kemaskini warna baharu di pasaran domestik Jepun

Pada penghujung tahun yang lepas, Kawasaki Ninja 250 2021 secara rasminya berada di pasaran Jepun, dalam dua pilihan warna menarik iaitu Metallic Carbon Gray / Metallic Flat Spark Black dan KRT Edition. Kini tanpa menunggu masa yang terlalu lama, model tersebut tampil pula dengan kemaskini dua warna terbaharu untuk musim 2022.

Paling menyerlah tentunya warna terbaharu Candy Persimmon Red / Metallic Graphite Gray, yang kini menggantikan warna terdahulu KRT Edition. Bagi warna Metallic Carbon Gray / Metallic Flat Spark Black, ianya kelihatan sama seperti mana model tahun 2021, namun jalur merah pada rim roda kini telah digantikan dengan jalur berwarna hijau.

Kawasaki Ninja 250 2022 kekal dikuasakan enjin 248cc (water-cooled, 4-stroke, parallel 2-cylinder, DOHC 4-valve) dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimumnya mencapai 37PS @ 12,500rpm, dengan tork puncak 23Nm @ 10,000rpm. Tangki bahan apinya didatangkan dengan kapasiti maksimum 14 liter.

Untuk tahap keselamatan tertinggi, model tersebut dilengkapi sistem brek cakera depan 310 mm dengan gandingan brek cakera belakang 220 mm, bersama-sama sistem brek ABS. Berat motosikal berada pada paras 166 kg. Ianya akan berada di pasaran Jepun mulai tarikh 24 September 2021, dengan harga jualan 654,500 Yen (RM 25,174.22).

Untuk pasaran Indonesia, Kawasaki Ninja 250 2021 dilancarkan dalam bulan Februari yang lepas, namun dengan pilihan warna merah dan grafik yang berlainan iaitu Passion Red. Untuk pasaran Malaysia, sehingga kini Kawasaki Ninja 250 dengan pilihan warna terbaharu masih belum diperkenalkan, bagi menggantikan pilihan warna sebelumnya.

Sumber gambar : Kawasaki1ban