PT Astra Honda Motor (AHM) kelmarin secara rasminya memperkenalkan satu pilihan warna terbaharu untuk model sport bike Honda CBR250RR 2022 di pasaran Indonesia. Dikenali dengan nama Bravery Red Black, pilihan warna terbaharu itu ditawarkan untuk ketiga-tiga varian Honda CBR250RR 2022 iaitu Standard, SP dan SP Quick Shifter.
Pilihan warna Bravery Red Black itu kini ditawarkan bersama-sama empat pilihan warna terdahulu iaitu Tricolor untuk varian CBR250RR SP Quick Shifter, Racing Red untuk CBR250RR SP dan CBR250RR SP Quick Shifter, Mat Gunpowder Black Metalic untuk CBR250RR dan CBR250RR SP, serta warna Black Freedom untuk varian CBR250RR.
Beralih ke bahagian spesifikasi, tiada sebarang perubahan yang diumumkan, bermakna ianya masih sama seperti model tahun 2021. Honda CBR250RR 2022 dikuasakan enjin 249.7cc (4-Stroke, 8-Valve, Parallel Twin Cylinder), dilengkapi transmisi 6-kelajuan dan menawarkan kuasa maksimum 41PS @ 13,000rpm dengan tork 25Nm @ 11,000rpm.
Perbezaan di antara varian Standard, SP dan SP Quick Shifter ialah hanya varian SP dan SP Quick Shifter sahaja yang dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch, manakala sistem Quick Shifter pula eksklusif untuk varian SP Quick Shifter. Selain itu untuk varian Standard, janaan kuasanya juga berkurangan iaitu hanya 38.7PS @ 12,500rpm sahaja.
Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Honda CBR250RR termasuklah sistem Throttle By Wire dengan tiga mod tunggangan, panel instrumen digital LCD, sistem lampu LED sepenuhnya, fork depan USD, suspensi belakang boleh laras dengan Pro-Link System dan lengan ayun aluminium, serta sistem brek dengan Anti-lock Brake System (ABS).
Untuk pasaran Indonesia, Honda CBR250RR 2022 dalam pilihan warna baharu Bravery Red Black ditawarkan sebanyak Rp. 66,200,000 (RM 19,529.89) untuk varian Standard, Rp. 72,800,000 (RM 21,476.98) untuk varian SP, dan Rp. 76,800,000 (RM 22,657.04) untuk varian SP Quick Shifter. Kesemua harga ialah On The Road (OTR) DKI Jakarta.
Di pasaran Malaysia, Honda CBR250RR 2021 dilancarkan pada bulan Disember 2020, dalam dua pilihan warna menarik iaitu Winning Red dan Mat Gunpowder Black Metallic. Harga asas yang ditawarkan juga berpatutan iaitu RM 25,999.000 sahaja. Untuk musim 2022, dijangkakan model tersebut akan menerima pilihan warna baharu tidak lama lagi.