Harga Honda Winner X 2021 di pasaran Vietnam pada Ogos 2021 menjunam ke paras terendah RM 5,889.26

Antara berita menarik mengenai model Honda Winner X 2022 yang muncul baru-baru ini ialah mengenai tarikh pelancarannya yang dikatakan bakal berlangsung dalam bulan Oktober 2021 akan datang. Generasi baharu Honda Winner X itu dikatakan akan tampil sebagai sebuah model serba baharu, dan dilengkapi enjin 160cc yang lebih berkuasa.

Jika benar Honda Winner X 2022 akan dilancarkan di pasaran Vietnam tidak lama lagi, ianya pasti akan memberikan kesan kepada model semasa Honda Winner X 2021, dan mungkin juga harga model tersebut akan diturunkan ke paras yang lebih rendah. Ianya merupakan strategi biasa untuk menghabiskan stok bagi model sedia ada di pasaran.

Situasi tersebut mungkin ada benarnya, apabila harga Honda Winner X 2021 di pasaran Vietnam dalam bulan Ogos ini telah menjunam ke paras terendah, bermula dari hanya VND 32,090,000 sahaja, iaitu bersamaan RM 5,889.26. Harga asalnya yang ditetapkan oleh Honda sebelum ini adalah sebanyak VND 46,090,000, bersamaan RM 8,458.58.

Bagi versi teratas, harga asal Honda Winner X 2021 adalah sebanyak VND 50,090,000, bersamaan RM 9,192.68. Namun harga terkininya pada bulan Ogos ini ialah sebanyak VND 36,090,000 sahaja, bersamaan nilai RM 6,623.35. Keseluruhannya, perbezaan di antara harga asal dan harga terkini adalah sebanyak VND 14,000,000 (RM 2,569.32).

Menurut sumber dari Vietnam, harga jualan terkini Honda Winner X 2021 dalam bulan Ogos ini adalah berdasarkan diskaun yang ditawarkan oleh wakil penjual Honda. Ianya bermakna harga jualan asal yang ditetapkan oleh Honda Motor Vietnam masih kekal sama, seperti mana yang dapat dilihat di dalam laman sesawang rasmi syarikat itu.

Antara sebab-sebab lain kenapa pihak wakil penjual di pasaran Vietnam menawarkan nilai diskaun yang begitu tinggi untuk model Honda Winner X 2021 ialah kerana model tersebut ketika ini bersaing dengan model popular Yamaha Exciter 155 VVA. Pandemik Covid 19 yang melanda Vietnam ketika ini juga menjadi sebab jualannya agak merosot.

Dengan harga jualan semasa yang begitu rendah , Honda Winner X 2021 di pasaran Vietnam pada ketika ini sangat berbaloi untuk dimiliki. Namun tidak dapat dipastikan jika pemberian diskaun yang ekstensif itu akan meningkatkan jumlah jualannya, atau ramai peminat motosikal moped di pasaran sana yang menantikan Honda Winner X 2022.

Sumber : Thethao247.vn