Dalam bulan April 2021 yang lalu, Benelli telah melancarkan model sport bike terbaharu Benelli Tornado 302R 2021 untuk pasaran China. Dan kini pada kelmarin, Benelli telah melancarkan varian model yang hampir serupa iaitu Benelli Tornado 252R 2021 khusus untuk pasaran China, yang kini dilengkapi sesaran enjin yang lebih kecil iaitu 249cc.
Apa yang menariknya dengan pelancaran model tersebut ialah ianya kini mampu untuk bersaing dalam kelas 250cc, yang sebelum ini dibarisi oleh model-model seperti Suzuki GSX250R, Yamaha YZF-R25, Honda CBR250RR dan juga Kawasaki Ninja 250. Untuk pasaran Malaysia, Tornado 252R ini pastinya sebuah model yang sangat dialu-alukan.
Dari segi reka bentuk, penampilan Benelli Tornado 252R boleh dikatakan begitu sporty dan garang, terutamanya pada bahagian hadapannya yang dilengkapi lampu LED jenis menegak dan diapit oleh dua lampu DRL di kiri dan kanannya. Panel meter digital LCD, sistem lampu LED dan ciri baharu sistem sambungan aplikasi antara ciri standardnya.
Benelli Tornado 252R dikuasakan enjin dua silinder dalam sesaran 249cc (liquid-cooled, DOHC, 8-valve) yang seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 25.7hp @ 8,500rpm, dengan tork puncak 24.1Nm @ 6,500rpm. Untuk perjalanan lebih jauh, model itu dilengkapi tangki bahan api 14 liter.
Melengkapkan lagi spesifikasinya yang menarik ialah fork depan upside down, suspensi belakang mono, sistem brek cakera dengan ABS, tayar depan dan belakang dalam saiz 110/70-R17 dan 140/70-R17, ketinggian tempat duduk hanya 785 mm dan berat 177 kg. Model dengan empat pilihan warna itu dijual pada harga 25,800 Yuan (RM 16,629.33).