Kapcai Lifan Oriol 110 2021 di pasaran Amerika Selatan

Di pasaran benua Amerika Selatan, Lifan menawarkan pelbagai jenis model motosikal. Salah satu daripadanya ialah model kapcai Lifan Oriol 110 2021, tampil dalam beberapa pilihan warna yang menarik. Spesifikasi yang melengkapi model itu juga memuaskan, di samping rekaannya yang sederhana namun sporty, dan semestinya kekal praktikal.

Lifan Oriol 110 dilengkapi enjin bersesaran 107cc yang menggunakan sistem karburetor dan sistem penyejukan udara, dan dipadankan kotak gear empat kelajuan. Kuasa yang dihasilkannya mencapai 7hp dengan tork 7Nm @ 8,000rpm. Kelajuan maksimum model itu dikatakan mencecah 75 km/j, sudah memadai untuk sesebuah kapcai sepertinya.

Walaupun hanya sebuah model kapcai bertaraf biasa, sistem brek Lifan Oriol 110 boleh dikatakan mantap, apabila dilengkapi brek cakera depan dengan kaliper dua piston. Di bahagian roda, tayar depan dan belakangnya masing-masing hadir dalam saiz 80/80-17 dan 80/90-17. Lebih menarik lagi, sepasang tayar itu membaluti rim aloi yang sporty.

Untuk kemudahan membawa barang-barang, Lifan Oriol 110 didatangkan kelengkapan dua jenis bakul iaitu bakul biasa dengan penutup pada bahagian hadapan, di samping bakul kepit di bahagian tengahnya. Harga jualan yang ditawarkan untuk Lifan Oriol 110 model tahun 2021 ini adalah berpatutan, bersamaan sekitar RM 4,600.00 sahaja.