Yamaha YZF-R15M 2022 tiba di cawangan pengedar Yamaha di pasaran India, terdedah dalam dua pilihan warna terkini

Memang sah Yamaha bakal melancarkan model terbaharu Yamaha YZF-R15M 2022 di pasaran India tidak lama lagi. Setakat ini model yang dinanti-nantikan itu telah pun tiba di cawangan pengedar Yamaha di India, berdasarkan beberapa keping imej yang bocor di dalam laman sosial Instagram yang bernama revnitro_official ini sejak kelmarin.

Melalui paparan imej-imej tersebut, Yamaha YZF-R15M didapati akan turut ditawarkan dalam pilihan warna perak dan biru, selain Monster Energy Yamaha MotoGP Edition. Mungkin masih ada lagi pilihan warna lain yang akan ditawarkan. Dari segi rekaan dan penampilan terbaharu, Yamaha YZF-R15M ternyata telah mengalami perubahan terkini.

Perubahan-perubahan itu jika dibandingkan dengan model Yamaha YZF-R15 V3 2021 yang ditawarkan di pasaran India ketika ini, antaranya melibatkan rekaan lampu depan, fork depan, tangki bahan api, fairing sisi dan juga pada bahagian ekzos. Apa yang pasti, penampilan terbaharu Yamaha YZF-R15M ini kelihatan lebih sporty, segar dan agresif.

Untuk pasaran India, Yamaha YZF-R15M ini dikatakan merupakan varian teratas untuk generasi terbaharu Yamaha YZF-R15 V4 2022, namun tidak pasti sama ada benar atau pun tidak. Selepas pelancaran di pasaran India, kita juga boleh menjangkakan Yamaha YZF-R15M ini akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia, mungkin pada tahun depan.