India Yamaha Motor (IYM) Pvt. Ltd. kini memperkenalkan edisi terbaharu untuk model naked Yamaha MT-15 di pasaran India, dalam skim warna jentera perlumbaan Monster Energy Yamaha MotoGP Edition. Model tersebut memiliki tanda harga jualan sebanyak ₹ 147,900 (Ex-Showroom Price in Delhi), bersamaan RM 8,411.13 (kadar semasa).
Yamaha MT-15 di pasaran India dikuasakan enjin berkapasiti 155cc VVA bertaraf BS VI, dan dipadankan kotak gear enam kelajuan dengan sistem Assist & Slipper Clutch. Ianya menghasilkan kuasa maksimum 18.5PS @ 10,000rpm, dengan tork puncak 13.9Nm @ 8,500rpm. Model tersebut turut dilengkapi sistem brek Single Channel ABS yang cekap.
Selain itu ciri-ciri menarik yang melengkapinya ialah ‘In-built Side Stand Engine Cut-Off Switch’, ‘Uni-level Seat with Grab Bar’, ‘USB Charger (optional)’ dan ‘Saree Guard’ yang menjadi ciri spesifik untuk pasaran India. Namun berbanding pasaran di Malaysia, fork depan Yamaha MT-15 di pasaran India bukanlah daripada jenis upside-down (USD).
Yamaha MT-15 di pasaran India ketika ini turut ditawarkan pilihan warna Metallic Black, Dark Matt Blue dan Ice Fluo-Vermillion. Untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-15 boleh dimiliki dengan harga asas RM 11,988.00, dalam dua pilihan warna iaitu Ice Fluo dan Yamaha Blue. Dijangkakan pilihan warna terbaharu akan diperkenalkan tidak lama lagi.