Selain daripada model BMW G 310 R 2021, BMW Motorrad Malaysia pada masa yang sama turut melancarkan sebuah lagi model terbaharu iaitu BMW G 310 GS 2021. Harga jualan asas untuk model tersebut bermula dari RM 29,500.00 untuk pilihan warna Style Rallye dan Polar White, dan RM 31,500.00 untuk pilihan warna 40 Years GS Edition.
Untuk musim 2021 ini, model adventure BMW G 310 GS kini tampil dengan spesifikasi teknikal yang telah dipertingkatkan, antaranya termasuklah dikuasakan enjin yang patuh piawaian emisi Euro 5, didatangkan sistem lampu LED sepenuhnya bersama-sama ciri lampu DRL LED, dan tuas tangan dengan empat pelarasan untuk sistem brek dan klac.
BMW G 310 GS 2021 masih mengekalkan enjin empat lejang satu silinder berkapasiti 313cc dengan sistem penyejukan cecair, yang menghasilkan 34hp @ 9,250rpm dengan tork 28Nm @ 7,500rpm. Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, bersama-sama sistem klac dengan teknologi baharu ‘self-boosting anti-hopping clutch’.
Juga baharu pada BMW G 310 GS ialah kelengkapan yang dipanggil ‘electronic throttle grip’ (electromotive throttle controller) yang menawarkan respon pendikit lebih sensitif, di samping ciri baharu ‘automatic idle speed increase’ yang menghalang kemungkinan enjin berhenti secara tiba-tiba. Tangki bahan api pula hadir dengan isian penuh 11 liter.
Aspek teknikal lain yang melengkapi BMW G 310 GS 2021 ini termasuklah fork depan USD 41 mm, suspensi belakang tunggal dengan ciri boleh laras pra-beban, sistem brek cakera dengan ABS, tayar depan dan belakang masing-masing berukuran 110/80 – R19 dan 150/70 – R17, ketinggian tempat duduk 835 mm dan berat keseluruhan 175 kg.