Bajaj Dominar 250 2021 dengan tiga skim warna terbaharu diperkenalkan di pasaran India, harga RM 8,802.85

Bajaj Auto baru-baru ini telah memperkenalkan model touring Bajaj Dominar 250 2021, yang kini hadir dalam tiga skim warna terbaharu Dual Tone Edition untuk pasaran India. Ketiga-tiga warna terbaharu itu menggabungkan dua tona warna, yang dikenali sebagai Racing Red + Matt Silver, Citrus Rush + Matt Silver dan Sparkling Black + Matt Silver.

Untuk pasaran India, Bajaj Dominar 250 2021 ditawarkan dengan harga sebanyak INR 154,176, bersamaan nilai RM 8,802.85 mengikut kadar semasa. Tampil sebagai pilihan kedua selepas model Bajaj Dominar 400, model tersebut dilengkapi enjin dalam kapasiti 248.77cc (Single Cylinder, 4 stroke, DOHC, 4 valve, Liquid Cooled, Twin Spark, FI).

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch, dan menghamburkan kuasa maksimum 27PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 23.5Nm @ 6,500rpm. Sistem suspensinya terdiri daripada fork depan USD 37 mm, dan digandingkan dengan ‘Multi-step adjustable Monoshocks with Nitrox’ di belakangnya.

Sistem brek cakera yang melengkapi Bajaj Dominar 250 boleh dikatakan serba lengkap apabila kedua-duanya dilengkapi ABS dua saluran. Tayar depan dan belakangnya pula bersaiz 100/80-17 (tubeless) dan 130/70-17 (tubeless). Ketinggian tempat duduk model tersebut ialah 800 mm, jarak kelegaan bumi 157 mm dan berat 180 kg (kerb weight).

Ciri-ciri lain yang melengkapi Bajaj Dominar 250 2021 ini termasuklah tangki bahan api maksimum 13 liter, panel meter digital LCD, sistem lampu LED sepenuhnya, dan sistem ekzos Twin Barrel dengan nada bunyi yang meyakinkan. Untuk pasaran Malaysia, ianya dijangka akan turut dilancarkan, namun tarikh sebenar pelancarannya belum diketahui.