Model naked Kawasaki Z900 untuk musim 2022 di pasaran USA kini telah menerima dua pilihan warna terbaharu, dikenali dengan nama Pearl Robotic White / Metallic Spark Black dan Metallic Matte Twilight Blue / Metallic Spark Black. Harga yang ditawarkan untuk model berkenaan adalah sebanyak $9,099.00, bersamaan RM 38,197.60.
Kawasaki Z900 2022 dilengkapi enjin berkapasiti 948cc (4-stroke, 4-cylinder, DOHC, 16-valve, liquid-cooled), dengan padanan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Turut melengkapi model tersebut ialah teknologi Dual Throttle Valves, Integrated Riding Modes, Power Modes dan KTRC (Kawasaki Traction Control).
Spesifikasi lain adalah seperti kapasiti tangki bahan api 17 liter, fork depan jenis terbalik 41 mm, suspensi belakang jenis horizontal back-link, brek cakera depan berkembar 300 mm dengan kaliper empat piston, brek cakera belakang tunggal 250 mm, sistem ABS dual-channel, dan tayar depan dan belakang bersaiz 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17.
Selain itu ialah panel instrumen digital TFT berwarna, sistem lampu LED sepenuhnya dan teknologi Bluetooth untuk sambungan ke telefon pintar. Berdasarkan maklumat di dalam laman sesawang Kawasaki Motor Europe, jumlah pengeluaran kuasa Z900 ini mencapai paras 125PS @ 9,500rpm, dengan tork maksimum 98.6Nm @ 7,700rpm.