Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 telah dilancarkan untuk pasaran Indonesia dan Thailand dalam bulan Jun 2021. Terbaru ianya dilancarkan pula untuk pasaran Jepun, dalam tiga versi dan juga warna iaitu Standard (Metallic Spark Black), SE (Metallic Matte Graphene Steel Gray / Metallic Spark Black) dan SE KRT Edition (Lime Green / Ebony).
Untuk pasaran domestik Jepun, harga jualan Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 bermula dari 847,000 Yen (RM 32,694.47) untuk versi Standard, diikuti 935,000 Yen (RM 36,091.30) untuk versi SE dan SE KRT Edition. Menurut Kawasaki, model tersebut akan berada di pasaran domestik Jepun secara rasmi mulai tarikh 10 September 2021 akan datang.
Selain daripada kemaskini warna terbaharu, Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 masih kekal dengan spesifikasi sama seperti mana model sebelumnya. Antaranya dilengkapi enjin 249.8cc (liquid-cooled, 4-stroke in-line four, DOHC, 16 valves) yang menjana sehingga 45PS @ 15,500rpm (46PS dengan Ram Air), dengan tork 21Nm @ 13,000rpm.
Selain daripada pasaran Indonesia, Thailand dan Jepun, Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 juga dijangka akan dilancarkan di pasaran Filipina dan Vietnam tidak lama lagi. Untuk pasaran Malaysia, sehingga kini belum ada sebarang laporan mengenai pelancarannya, mungkin kerana faktor harga yang dikatakan terlalu tinggi, mencecah sehingga RM 40k.
Sumber gambar : Kawasaki1ban